KUALA LUMPUR 7 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Nelson
Mandela sebagai pemimpin hebat pada era ini dan kematiannya suatu
kehilangan besar bagi masyarakat dunia.
“Ikon kebebasan yang hebat, Nelson Mandela kini bersemadi selamanya,
meninggalkan warisan bukan sahaja untuk Afrika tetapi untuk seluruh
dunia dan generasi akan datang,” kata Ketua Umum KEADILAN itu dipetik Keadilan Daily, hari ini.
Mandela, bekas presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan dan
pejuang kebebasan anti Aparteid meninggal dunia di kediamannya di
Johannesburg pada Khamis selepas menderita jangkitan paru-paru sejak
sekian lama.
Perjuangan Mandela menentang dasar aparteid iaitu undang-undang yang
membezakan antara masyarakat kulit putih dan hitam di Afrika Selatan
bermula pada 1948 hingga 1991.
Menerusi Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika (ANC Youth League)
yang dibentuk pada 1941, beliau menjelajah seluruh Afrika bagi meniup
semangat menentang dasar Aparteid yang zalim.
Parti ANC kemudian diharamkan selepas pemberontakan di Sharpeville
pada tahun 1960, dan Mandela ditangkap serta dipenjarakan pada tahun
1961.
Beliau menghabiskan satu pertiga daripada hayatnya dengan menjalani
hukuman penjara selama 27 tahun ketika pemerintahan rejim Aparteid.
Selepas menolak beberapa tawaran bersyarat rejim Afrika Selatan,
Mandela yang dikenali dengan gelaran ‘Madiba’ akhirnya dibebaskan pada
11 Februari 1990.
Akibat tentangan hebat ANC dan tekanan antarabangsa, pengharaman parti ANC berakhir.
Pada 10 Mei 1994, beliau dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama
di Afrika Selatan selepas memenangi Pilihan Raya pada tahun itu.
Selangorkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...