SHAH ALAM 25 NOV : Kerajaan Negeri memperolehi nilai aset berjumlah
RM700 juta daripada penyelesaian hutang Talam Corporation Berhad
(Talam) yang nilai asalnya berjumlah RM390 juta.
Menteri
Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata aset hartanah yang
diperolehi melalui kutipan hutang Talam itu akan dibangunkan Kerajaan
Negeri bagi memastikan ia terus menjana keuntungan.
Abdul Khalid berkata, tanah di Bukit Beruntung seluas 1,275 ekar dan
25.93 ekar akan dibangunkan dalam bentuk pembangunan bercampur oleh anak
syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)
serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Katanya, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menjual tanah
berkenaan walaupun terdapat pihak yang menyatakan hasrat untuk
membelinya dengan harga RM300,000 bagi satu ekar.
“Tanah Bukit Beruntung, ia akan dibuat dalam bentuk pembangunan
bercampur, pelan pembangunan sudah disiapkan dan sekarang ada orang yang
ingin membeli satu ekar dengan harga RM300,000, jadi kita tidak
bercadang untuk menjualnya.
“Saya akan tunjukkan bahawa Insyallah bahawa kita dapat bangunkan Bukit Beruntung, kawasan itu akan menjadi beruntung,” katanya.
Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada
Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor
(DNS) di sini, hari ini.
Abdul Khalid berkata, tanah di Bestari Jaya berkeluasan 2,263 ekar
akan dibangunkan menjadi tapak takungan air bagi mengatasi masalah
kekurangan air ketika musim kemarau.
Katanya, terdapat dua cadangan yang dikemukakan bagi pembangunan di
Bestari Jaya iaitu untuk dijadikan tapak takungan air bagi mengatasi
masalah kekurangan air di musim kemarau dan pembangunan hartanah di
kawasan sekitar takungan air itu.
Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan akan diputuskan kelak.
“Kerajaan Negeri menjual tanah di Danau Putra berkeluasan 140 ekar
dengan nilai RM60 juta dan tanah Puncak Bukit Jalil seluas 12 ekar yang
dibeli Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB),” kata beliau.
-EZY
Selangorkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...