Pakatan Rakyat (PR) kekal dengan pendirian bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah" seperti yang diputuskan Majlis Pimpinan PR pada Januari lalu, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menegaskan pendirian PR konsisten dalam isu kalimah "Allah", selagi ia tidak disalahgunakan oleh penganut agama lain.
"Pakatan Rakyat kekal konsisten dengan pendirian kami dahulu.
"Cuma sekarang kami menggesa supaya semua pihak bertenang dan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani isu ini," kata Anwar dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat PKR hari ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali dan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut hadir dalam sidang media sama juga senada dengan pendirian tersebut, apabila disoal wartawan terhadap reaksi keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.
Pada 8 Januari lalu, PR mencapai pendirian penggunaan kalimah "Allah" boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan dan menegaskan kalimah "Allah" tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.
Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Lim dan Anwar.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan baru-baru ini, sebulat suara telah menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada tuhan bagi agama Kristian.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.
Bekas mufti Johor, Datuk Noh Gadut, yang juga penasihat Majlis Agama Islam, selepas keputusan tersebut diumumkan memberi amaran kepada penganut Muslim yang mempersoalkan pengharaman kalimah Allah ke atas yang bukan Muslim.
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila KDN membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan.
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. – 17 Oktober, 2013.
TheMalaysiaInsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...