15 tahun selepas dipecat, Anwar positif pandang masa depan
Pada 2 September 1998, kira-kira 15 tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) masuk ke pejabat sebagai orang nombor dua paling berkuasa di Malaysia, tetapi pulang beberapa jam kemudian selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.Selepas bebas seketika, Anwar ditangkap, dilokap, dibicara dan seterusnya dipenjarakan.
Pada hari beliau dipecat, pelbagai golongan termasuk presiden PAS pada ketika itu, Datuk Dr Fadzil Mohd Nor berkunjung ke rumahnya di Bukit Damansara untuk memberikan sokongan moral.
Hampir setiap hari sejak hari itu, rumah beliau penuh dengan pelbagai
jenis manusia. Peguam, wartawan, diplomat asing dan rakyat biasa
berkumpul di rumah itu.
Masih teringat, beberapa hari selepas itu pada 20 September, rumah beliau dipecahkan oleh polis untuk menangkapnya.
Selepas ditangkap, timbul kisah mata lebam yang kemudiannya disahkan oleh suruhanjaya siasatan bahawa ia dilakukan oleh Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Anwar kemudiannya diajukan dengan pelbagai penghinaan dan siksaan kepada dirinya, keluarga dan anak sama ada melalui ucapan pemimpin negara dan laporan media.
Akibat rentetan kejadian itu, pemimpin politik khasnya daripada pembangkang dan NGO bergabung tenaga di bawah kepimpinan Fadzil Noor dan seterusnya menubuhkan Gerakan Rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Gerak.
Sejak hari itu sehingga hari ini politik Malaysia tidak pernah sunyi . Apa yang berlaku hari ini adalah kesan daripada apa yang terjadi pada 2 September, 15 tahun lalu.
Sudah dua penggal berturut-turut kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dua pertiga undi dalam Dewan Rakyat. Dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) baru-baru ini, 52 peratus rakyat menyokong Pakatan Rakyat (PR) berbanding BN yang disokong 47 peratus pengundi negara ini.
Kerajaan BN yang dibentuk juga dilihat tidak stabil. Ada sahaja isu yang melanda. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainudin dilihat mempunyai pengaruh besar walaupun tidak berkuasa.
Ekoran itu timbul cerita cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara BN dengan PR sebagai jalan penyelesaian konflik ini.
Wartawan The Malaysian Insider menemui Anwar untuk mengimbas kembali saat itu dan kesannya ke atas politik Malaysia sehingga hari ini. Berikut adalah sedutan daripada temubual itu.
The Malaysian Insider: Pada 2 September ini genaplah 15 tahun Datuk Seri dipecat daripada kerajaan. Apa yang berlaku hari ini hasil dari kejadian 15 tahun lalu. Apa komen Datuk Seri terhadap apa yang berlaku sekarang?
Anwar: Saya Alhamdulillah. Saya ingat saat derita itu ke atas saya, Azizah dan keluarga serta teman-teman. Saya syukur Alhamdulillah kerana ia tidak mengganggu ketenteraman jiwa saya dan tidak rasa benci kepada orang yang menganiaya saya.
Saya bersyukur kerana Allah beri ruang kepada saya untuk melakar sesuatu dan memilih teman yang setia, khasnya arwah Datuk Fadzil Noor, dan sekarang PAS dengan Ustaz Hadi dan Kit Siang bersama DAP serta Dr Syed Husin serta teman lain. Saya kira saya mahu melihat ke depan.
The Malaysian Insider: Selepas 15 tahun mencuba, Datuk Seri belum berjaya mengubah kerajaan. Apa ini menjadi faktor cakap-cakap mengenai kerajaan perpaduan?
Anwar: Pertama tidak benar ia tidak berjaya. Bulan lalu saya ke Istanbul, Turki dan berjumpa dengan pemimpin dari Syria, Mesir termasuk Sheikh Ghanusi dari An Nahdah Tunisia. Kata Ghanusi:”Anwar, tidak ada dalam mana-mana negara berhadapan dengan sistem yang menekan, mencatatkan satu kejayaan, tidak ada. Kalau ada pilihan raya semuanya ranap.” Daripada segi itu, Alhamdulillah saya capai satu kejayaan besar. Ya kita tidak berjaya mengambil alih kerajaan tetapi mengambil alih dengan cara yang kotor dan curang juga tidak menyenangkan.
Soal kerajaan perpaduan tidak berbangkit sama sekali. Orang membicarakan, jadi bagi saya yang perlu ada adalah muafakat untuk bersetuju untuk beberapa dasar yang sama. Ini yang kita suarakan. Saya suarakan ini sejak 2008. Saya masih ingat ucapan pertama saya selaku ketua pembangkang adalah menyuarakan supaya diadakan dialog berterusan untuk isu dasar, ekonomi, pencegahan jenayah dan sebagainya kerana ini amat diperlukan.
Saya tidak faham kenapa pimpinan Umno boleh hidup dalam keselesaan dan merasakan semuanya baik tetapi angka berada di sebaliknya.
Saya juga lihat ada yang mentafsirkan ini fatiq atau seolah-olah kita sudah keletihan. Bagi saya ini tidak berbangkit.
The Malaysian Insider: Apa perkembangan dalam Pakatan Rakyat sekarang? Adakah Datuk Seri puas hati dengan apa yang ada?
Anwar: Ada pandangan yang menyatakan, setelah selesai pilihan raya, Pakatan harus melonjak jangan nampak terlalu tenang. Saya setuju, kita harus tingkatkan kerjasama. Ada pandangan menyatakan DAP selesa kerana sokongan Cina kuat, PAS harus tumpukan kepada soal pengundi Melayu. Bagi saya, ini semua tidak mempersulitkan atau menghalang kerjasama ini tetapi muafakat di kalangan Pakatan Rakyat itu satu yang sangat kritikal bukan sahaja kepada Pakatan Rakyat tetapi juga kepada negara.
The Malaysian Insider: Tahun depan bakal di adakan persempadanan kawasan pilihan raya. Apa pandangan Datuk Seri mengenainya?
Anwar: Kita menentang keras kerana tidak wajar SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang curang dengan rekod kotor dan jijik itu diamanahkan untuk melakukan sesuatu perubahan besar. Tidak munasabah dan kita akan tentang keras dan kita beri ingatan jangan sekali-kali mengadakan persempadanan ini oleh SPR yang ada.
Bukan soal dua pertiga tetapi soal kredibiliti SPR itu sendiri yang mesti diselesaikan. Soal pendaftar undi pun tidak berjaya diselesaikan lagi sampai sekarang. Selesaikan itu dahulu.
Penyelesaian ini tidak boleh selesai dengan penukaran setiausaha yang bersara diganti dengan yang baru tetapi penukaran orang kanan mereka.
Sudah-sudahlah kepada yang berkhidmat, terima kasihlah. Bagilah kepada mereka pingat dan ganjaran kerana mereka berjasa kepada Umno, bagilah. Tetapi jangan korbankan prinsip kebebasan dan ketelusan ini. - 2 September, 2013.
TheMalaysiaInsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...