Sehingga kini dialog PR dengan BN yang diusulkan Anwar Ibrahim masih
lagi menjadi misteri. Misteri dalam erti kata sama ada ia sekadar dialog
untuk kepentingan rakyat dan negara atau dialog itu petanda awal ke
arah kerjasama dan penyatuan antara Najib dan Anwar. Hanya Anwar yang
tahu apa isi hatinya yang sebenar.
Sementara tawaran Anwar itu disambut dingin kebanyakan pemimpin Umno
dengan ada yang mempertikaikan niat dan tujuannya manakala ada pula yang
mahu cadangan dialog itu dibawa ke Parlimen, Najib sehingga ini masih
lagi berdiam diri mengenainya.
Anwar pula, sebagaimana pendirian awalnya, kekal bahawa dialog itu
semata-mata membincangkan isu kepentingan rakyat dan negara seperti
mengenai agama, kaum, keselamatan dan ekonomi serta menolak sama-sekali
menjurus ke arah penubuhan kerajaan perpaduan.
Namun pendirian kebanyakan pemimpin Umno yang menolak tawaran Anwar itu
menampakkan kebimbangan mereka terhadap kerjasama Najib dengan Anwar
dan juga penubuhan kerajaan perpaduan yang mungkin akan terlaksana
kiranya dialog itu menjadi kenyataan.
Di pihak Pas dan DAP pula, mereka juga nampaknya tidak memberi respon
dan keghairahan terhadap tawaran dialog yang diusulkan Anwar itu.
Pimpinan kedua-dua parti itu belum lagi memberi sebarang kenyataan atau
ulasan, baik mengalu-alukan atau pun menolak cadangan Anwar itu walaupun
ia dibuat atas nama Pakatan Rakyat.
Mungkin Pas dan DAP mahu berhati-hati dan tidak mahu terjebak dalam
percaturan yang masih belum diketahui siapa untung dan siapa ruginya
ini.
Tetapi usul atau tawaran yang dibuat Anwar kepada Najib ini, walaupun
atas nama menyuburkan amalan demokrasi dan demi kepentingan rakyat dan
negara, ia sedikit-sebanyak mencalarkan keteguhan perjuangan Anwar
selama ini dan membuatkan ramai orang mulai curiga terhadapnya.
Sesudah 15 tahun melakar tanda aras baru dalam politik Malaysia sejak
dipecat pada 2 September 1998, terutama dengan merangsang kebangkitan
anak muda serta menimbulkan kesedaran mengenai pelbagai aspek dalam
kepimpinan dan kenegaraan, ramai yang mengharapkan Anwar tidak cepat
mengalah dan meneruskan apa yang diasaskannya itu.
Slogan reformasi, perubahan, lawan tetap lawan dan sebagainya yang
sering menjadi basahan bibir Anwar selama ini sebenarnya masih
diperlukan lagi.
Walaupun usaha menubuhkan kerajaan masih belum berhasil tetapi dengan
peningkatan kejayaan PR yang jelas ketara sejak 2008 manakala dalam
pilihanraya 2013 pula hanya kekurangan 23 kerusi tetapi berjaya
mendapatkan majoriti hampir 52 peratus sokongan rakyat, masa depan Anwar
dan PR dipercayai lebih cerah dalam pilihanraya empat atau lima tahun
lagi.
Dengan kedudukan ekonomi yang kekal sukar, kesedaran rakyat, pengaruh
internet, kewujudan bandar-bandar baru serta isu-isu semasa yang semakin
banyak merugikan kerajaan, kecondongan rakyat dan pengundi muda
dipercayai akan terus memihak kepada PR.
Ditambah dengan sikap dan perangai pemimpin yang memegang kuasa dalam
kerajaan yang masih tidak berubah, bahkan Najib sendiri dikecam ramai
penyokongnya sendiri kerana dilihat turut tidak berubah dan mengamalkan
gaya lama, peluang PR dalam PRU 14 jauh lebih baik baik berbanding PRU
13 lalu.
Ramai pemimpin Umno sendiri mempercayai hakikat ini dan mereka melihat
bukan saja Najib dan pemimpin Umno masih tidak berubah, bahkan
seolah-seolah keputusan buruk PRU 13 tidak memberi apa-apa pengajaran
untuk direnungi oleh Umno dan BN.
Justeru itu, peluang Anwar dan PR yang sebenarnya ialah PRU 14. PR
dipercayai mempunyai peluang yang lebih baik dengan syarat memelihara
kesatuan dan mengekalkan momentum sedia ada.
Anwar akan terus disanjung dan dihormati jika kekal dengan
perjuangannya mahu membawa perubahan kepada rakyat dan negara yang
sering dilaungkannya selama ini. Rakyat mahu beliau terus berjuang dan
melawan sepertimana iltizamnya sebelum ini.
Kini bukan saja rakyat biasa, mereka yang tidak berparti dan penyokong
PR yang terus menagih perjuangan Anwar bagi kepentingan rakyat dan
negara, malah ramai di kalangan ahli dan penyokong Umno juga
mengharapkan Anwar terus dengan peranan kritikalnya menegur mengenai
dasar kerajaan dan perlakuan pemimpinnya yang dianggap tergelincir
daripada landasan sewajarnya.
Ramai yang merasakan jika tidak kerana pembangkang selantang dan sekuat
sekarang serta pengaruh Anwar mengetuai PR, kejelekan, kesombongan dan
salah laku pemimpin Umno dalam mengurus kerajaan serta berbangga dengan
jawatan dan kemewahan mungkin menjadi lebih tidak terkawal dan
berleluasa lagi.
Oleh itu, peranan Anwar dan PR ada nilai tambahnya dan sentiasa dalam
perhatian rakyat. Sampai masanya peranan dan sumbangan mereka akan
dihargai juga. Lima tahun tidaklah lama, jika boleh bersabar selama 15
tahun sejak dipecat dengan pelbagai penghinaan dan kata-kata nista,
apalah sangat lamanya bersabar selama lima tahun lagi. –
shahbudindotcom.blogspot.com, 2 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...