PETALING JAYA 3 SEPTEMBER: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
dan Menteri Kabinet dicabar membayar sendiri perbelanjaan petrol dan
diesel yang selama ini dinikmati mereka atas pembiayaan wang rakyat
secara percuma.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mengemukakan cabaran itu
berikutan kenaikan harga minyak RON 95 dan diesel sebanyak RM20 sen
berkuatkuasa tengah malam tadi. Dengan kenaikan ini, RON 95 berharga
RM2.10 seliter manakala diesel pula RM2.00 seliter.
“Oleh
kerana Najib bertanggungjawab menaikkan harga minyak, wajarlah beliau
mengarahkan semua Menteri Kabinetnya seramai lebih kurang 70 orang itu
membayar sendiri petrol dan diesel yang selama ini ditanggung wang
rakyat.
“Mereka mesti berlaku adil kepada rakyat yang selama ini menanggung
perbelanjaan ini,” tegasnya pada sidang media di ibu pejabat parti hari
ini.
Najib dalam pengumuman itu semalam memberi alasan kenaikan itu
kononnya langkah rasionalisasi subsidi dan proses pengukuhan ekonomi
jangka pendek dan sederhana oleh kerajaan bertujuan memberi kesan
positif kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menolak alasan
itu dengan mengemukakan fakta bahawa kenaikan harga minyak memberi
kesan berganda kepada rakyat terutama golongan miskin.
Jelas beliau, berdasarkan Kajian Institut Penyelidikan Ekonomi
Malaysia (MIER) dan Kaji Selidik Isirumah 2009/2010 menunjukkan kenaikan
itu memberi kesan lebih buruk kepada golongan miskin.
“Contohnya, golongan berpendapatan bawah RM500 sebulan membelanjakan
35 peratus daripada pendapatan itu untuk petrol dan diesal sahaja.
“Manakala mereka yang bergaji lebih RM4,000 sebulan hanya
membelanjakan 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk tujuan itu,”
katanya.
Beliau turut menyangkal kenyataan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong
BN di Parlimen, Datuk Bung Mokhtar Radin yang menyifatkan kenaikan itu
tidak memudaratkan rakyat kampung kerana menurutnya yang berkereta
kebanyakan orang kaya.
“Rakyat guna kereta termasuk golongan miskin bukan kerana pilihan,
tetapi adalah keperluan,” bidas Rafizi menyarankan Bung Mokhtar supaya
ringan tulang membaca laporan kajian itu.
Keadilandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...