Seorang pegawai polis didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah
agar tidak mendekati saksi pembelaan dalam kes dadah melibatkan seorang
warga Australia.
Hakim Kamardin Hashim juga memerintahkan Insp Luther Nurjib @ Andrew dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda.
Kamardin
dalam keputusannya berkata pemohon Dominic Jude Bird, 34,mendedahkan
Luther melakukan kesalahan menghina mahkamah apabila dia mendekati saksi
pembelaan, Mohd Fahrizal Rosli di lokap Kompleks Mahkamah Jalan Duta di
Kuala Lumpur pada 10 Disember 2012, tiga hari selepas mahkamah
mengeluarkan perintah sekatan.
Hakim berkata mahkamah juga
telah menimbangkan rayuan yang dikemukakan peguam Luther, C.B. Liang,
tanpa membelakangkan sistem keadilan jenayah.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Kamardin menegur Luther kerana gagal mengemukakan permohonan maaf kepada mahkamah.
"Tiada
usaha di pihak anda untuk membersihkan prosiding menghina mahkamah.
Anda sepatutnya berusaha untuk memaklumkan kepada mahkamah dan
menawarkan permohonan maaf," kata Kamardin.
Luther yang
sebelum ini bertugas dengan Jabatan Narkotik di Balai Polis Dang Wangi
bertindak selaku 'ejen provokasi' ketika menahan Bird semasa serbuan
itu.
Luther membayar denda itu.
Pada 25 Mac lepas,
Kamardin memerintahkan Bird membela diri terhadap pertuduhan mengedar
167.8 gram dadah jenis methamphetamine, di cawangan Old Town Coffee di
Jalan Yap Kwan Seng pada jam 4.15 petang pada 1 Mac tahun lepas.
Sementara
itu, peguam yang mewakili Bird, memberitahu pemberita penghujahan di akhir kes pembelaan perbicaraan itu
ditetapkan esok di hadapan Kamardin.
Perbicaraan kes Bird juga mendapat liputan media Australia.
Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...