KUALA LUMPUR 14 Julai: Pakatan Rakyat amnya menyokong penuh kenyataan
Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga untuk menganjurkan Himpunan
Bersih 4.0 sekiranya persempadanan semula dilakukan tanpa pembersihan
daftar pemilih.
Naib
Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, selain isu daftar pemilih,
sehingga hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan mengakui
penipuan dilakukan pada pilihan raya umum lalu, termasuk isu penggunaan
dakwat kekal.
“Jika SPR tidak mengendahkan tuntutan Bersih, nampaknya kita tidak
mempunyai pilihan lain selain melancarkan protes besar-besaran di jalan
raya,” ujar Ahli Parlimen Batu itu.
Menyokong tindakan sama, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berpendapat
himpunan Bersih 4.0 wajar bagi memastikan SPR terus ditekan sehingga
daftar pemilih yang kotor dibersihkan.
“Kalau tidak, selepas sepuluh kali pilihan raya pun SPR tetap memberi
alasan yang sama apabila ditanya mengenai senarai daftar pemilih yang
bercelaru dan meragukan.
“Sebagai pemimpin Pas, saya menyokong penuh Bersih 4.0 bagi
memastikan rakyat Malaysia pada masa akan datang menikmati proses
demokrasi pilihan raya yang lebih telus, adil dan bersih,” katanya yang
juga Ahli Parlimen Pokok Sena ketika dihubungi.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dato’ Ngeh Koo Ham
yakin DAP akan menyokong himpunan itu bagi menuntut hanya pengundi yang
sah didaftar sebagai pengundi.
“Sebab itu DAP juga mendesak senarai daftar pemilih dipulihkan segera
untuk meyakinkan rakyat bahawa tidak ada pengundi hantu dan haram
berada dalam daftar pengundi.
“SPR tidak boleh memberi alasan proses ini sukar dilaksanakan kerana
kerajaan mempunyai banyak agensi dan jabatan yang boleh membantu,” ujar
Pengerusi DAP Perak itu.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...