Pages - Menu

Pages - Menu

Khamis, Julai 11, 2013

Luar Biasa Calon Parti Islam (PAS) Kuala Besut..... Wajib Undi..


Deretan rumah penduduk di kawasan pantai Kuala Besut.

Saya menyanjung tinggi hasrat calon PAS bagi PRK N01 Kuala Besut, Azlan Yusof dengan janji beliau sekiranya dengan izin Allah, pengundi Kuala Besut memilihnya untuk menjadi wakil mereka, semua gaji yang bakal diterima tidak akan diambil walau sesen pun, sebaliknya suatu tabung akan diwujudkan bagi faedah kebajikan rakyat yang memerlukan.

Dengan latar belakang beliau sebagai seorang kontraktor kelas A dan dikenali sebagai insan dermawan selama ini, tentunya beliau komited dengan apa yang diucapkan. Apatah lagi masyarakat Kuala Besut yang bakal diwakilinya, masih sangat ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan terutama masyarakat nelayan pantai yang tinggal di kawasan pesisiran pantai.

Ironinya beberapa Pusat Daerah Mengundi Dun Kuala Besut yang merangkumi lokasi pesisiran pantai adalah kubu kuat Barisan Nasional. Sebagaimana juga yang sudah sedia dimaklumi, kawasan penempatan di lokasi pedalaman dengan penduduk yang masih dihimpit kemiskinan di kebanyakkan lokaliti di Terengganu masih merupakan feeder tetap kepada undi BN.

Benarkah ungkapan, kekalkan pergantungan keterlaluan rakyat kepada bantuan kerajaan, sampai masanya ketika undi mereka diperlukan, semuanya akan akur dengan mudah? Kaedah memanipulasi pelbagai program bantuan untuk rakyat dengan tujuan untuk meraih undi bukan lagi statement yang perlu BN nafikan.

Kita mempunyai bukti bagaimana penerima BR1M, bantuan khas awal persekolahan, bantuan elaun sara hidup nelayan, bantuan wang ehsan, dana khas hari raya serta pelbagai lagi penerima bantuan kebajikan yang sebenarnya semua bersumber dari duit rakyat tetapi penerimanya dipaksa mendengar bebelan ucapan panjang berjela dari pemimpin BN kononnya mewajibkan rakyat untuk bersyukur dengan kerajaan BN.

Apabila pemimpin BN setempat tak begitu mempunyai kemahiran untuk membebel, penceramah upahan terdiri bekas-bekas pemimpin buangan dari PAS pula diundang. Untuk apa semua ini?

Bersempena PRK, tentu sekali limpahan janji akan mencurah di Kuala Besut, walaupun mungkin ianya agar sukar dimengertikan oleh masyarakat tempatan seumpama janji seorang pemimpin tertinggi kerajaan pusat untuk menjadikan Manik Urai sebuah ‘bandar metropolitan’ ketika PRK Dun Manek Urai dulu atau seumpama janji ditabur oleh seorang menteri kerajaan pusat untuk memasang kemudahan WiFi di sebuah penempatan orang asli ketika PRK Dun Galas.

Nasib baik kerana janji pilihanraya tak termasuk dalam bab rasuah atau mana-mana akta sehingga pemungkirnya boleh didakwa di mahkamah, kalau tidak akan bertambah lagilah kerja pendakwa, loyar dan para hakim.

Limpahan beranika projek makanan segera pelbagai jenama akan dihidangkan di mana-mana. Bukan hanya setakat mi segera. Apatah lagi kerusi Kuala Besut seakan penentu kelangsungan kuasa BN di Terengganu. Kalah bermakna 16:16. Suatu testimoni perundangan yang unik akan berlaku. Untuk mempertahankan sisa-sisa kudrat yang berada di hujung tanduk, segalanya tentu sanggup dilakukan.

Nasihat saya kepada pengundi Dun Kuala Besut, nikmatilah ia seadanya. Cuma berhati-hatilah, banyak makanan segera atau fast food tidak begitu baik untuk kesihatan kita walaupun rasanya lazat ketika dimakan. Orang Kuala Besut perlu memikirkan kesan kesihatan untuk jangka panjang.

BN telah diberi peluang selama lebih 50 tahun menyediakan resepi untuk rakyat. Apakah juadah yang dihidangkan itu adalah pemakanan seimbang untuk keperluan jasmani dan rohani rakyat?

HarakahDaily

1 ulasan:

  1. Pergi tanya penduduk Kuala Besut yang dapat BRIM... berapa banyak lagi baki BRIM yang kau terima hari tu? Sepatutnya tak habis lagi... boleh tahan setahun.

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...