Pages - Menu

Pages - Menu

Sabtu, Julai 13, 2013

kemenangan PAS memberi kelebihan kepada rakyat Terengganu - Husam Musa



BESUT: PAS berpendapat calon yang dipilih pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut adalah calon yang tepat serta menepati kehendak penduduk setempat.

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Datuk Husam Musa menjelaskan perkara tersebut selepas proses penamaan calon pagi tadi.

Menurutnya lagi, calon yang ditampilkan oleh PAS merupakan calon yang disukai oleh penduduk setempat dan beliau yakin rakyat akan terus memberi sokongan pada hari pengundian nanti.

"Calon yang kita tampil ini adalah atas permintaan penduduk di sini, jadi atas alasan tersebut saya yakin calon dari PAS mempunyai kekuatan untuk menghadapi calon Barisan Nasional (BN) pada PRK kali ini.

"Kita tidak tampil calon yang mempunyai bantahan dalaman atau penduduk setempat, calon kita adalah individu yang dihormati serta dikenali," kata beliau.

Sementara itu, Husam ketika ditanya mengenai kelayakan pendidikan calon PAS, Endot@Azlan Yusof menjelaskan calon PAS dipilih untuk mewakili serta membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri bukannya untuk menjadi pensyarah ataupun jurutera.

"Isu pendidikan bukan satu isu yang besar, beliau mewakili dan membawa suara rakyat di dewan, beliau hendak mewakili rakyat bukannya menjadi pensyarah ataupun jurutera di dewan.

"Apa yang penting walaupun pendidikan itu rendah tetapi dapat membawa inspirasi rakyat dan membela hak rakyat itu yang lebih bermakna dari pendidikan tinggi tapi gagal membela rakyat," jelasnya.

Husam yang juga turut yakin dapat mengulangi kemenangan PAS di Dun Kuala Besut sepertimana yang belaku pada tahun 1999.

"Kita di sini mempunyai tugas berat dan kita sedia maklum pada PRK BN akan menggunakan pelbagai pihak atau agensi kerajaan untuk membantu kempen mereka.

"Begitu juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diragui ketelusannya tetapi oleh kerana calon kita ini disenangi rakyat, saya rasa peluang itu ada.

"Kalau ditakdirkan kita menang kedudukan Dun 16:16, secara tidak langsung rakyat terengganu ada kuasa untuk meminta kerajaan mengagihkan kekayaan Terengganu dengan lebih adil," sambung beliau.

Tambahnya lagi, kemenangan PAS memberi kelebihan kepada rakyat tetapi jika BN terus kekal ia tidak akan membawa apa-apa perubahan besar kepada politik Terengganu.

Katanya, jika kedudukan seri, wakil rakyat PAS akan membawa isu-isu pembangunan ekonomi yang lebih mantap dan rakyat akan mendapat faedah yang berganda.

"Ini peluang untuk rakyat Kuala Besut membuat perubahan, ia tidak berlaku pada PRU13 sebelum walaupun hanya PRK tetapi kesannya amat besar kepada pengaruh politik Terengganu," tambah beliau lagi.

Dalam pada masa yang sama, Husam menyifatkan PRK kali ini juga merupakan pertarungan antara kem Datuk Seri Idris Jusoh dan kem Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

HarakahDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...