Hari gelap buat Mesir – Anwar
KUALA LUMPUR 28 JULAI : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan
pembunuhan beramai-ramai penyokong pro Morsi dan anggota Ikhwanul
Muslimin berdekatan Masjid Rabaa al-Adawiya semalam merupakan hari
paling ‘gelap’ di Mesir sejak berlakunya Arab Spring di wilayah itu.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak mengutuk sekeras-kerasnya
komplot Pasukan Keselamatan yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Sisi
bersama pimpinan kerajaan sementara yang tidak sah kerana membunuh
rakyat Mesir yang tidak berdosa.
“Pembunuhan lebih 100 penyokong pro-Morsi dan ahli Ikhwan Muslimin di
sekitar Masjid Rabaa al-Adawiya, Kaherah menandakan hari paling gelap
untuk Mesir sejak berlakunya Arab Spring.
“Saya mengutuk pertumpahan darah yang dilakukan oleh tentera dan
pasukan keselamatan ini. Panglima tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi
bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin kerajaan sementara yang tidak sah
di Mesir bertanggungjawab atas semua ini.
“Saya menyeru semua pihak seluruh dunia mengutuk pembunuhan orang
awam yang tidak berdosa dan memanfaatkan kuasa masing-masing untuk
menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya dalam satu
kenyataan.
Sementara itu, Rangkaian televisyen Al Jazeera melapor 120 mati dan
4,500 cedera dalam serangan ke atas penyokong Ikhwan berdekat masjid
itu.
Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, tentera mula menembak sebelum solat Subuh.
“Mereka menembak bukan untuk mencederakan, tetapi sengaja untuk membunuh. Kepala dan dada menjadi sasaran,” katanya.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...