SUNGAI PETANI 12 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak
akur kehendak rakyat yang menyatakan penolakan terhadap beliau pada
pilihan raya umum lalu, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Berucap
di Himpunan Black 505 peringkat negeri Kedah semalam, Anwar berkata,
Najib juga enggan mendengar desakan rakyat yang berhimpun bagi membantah
keputusan PRU dan penipuan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Beliau bukan saja tidak akur dengan kehendak rakyat yang sanggup
turun ke himpunan demi himpunan bagi membuktikan penolakan mereka
terhadap beliau sebagai Perdana Menteri, tetapi memandang rendah
kehendak majoriti rakyat,” kata Anwar depan lebih 5,000 hadirin di
Padang Awam Puteri Jaya, Sungai Petani.
Jelas Anwar, Umno BN semakin sombong dan tidak mempunyai rasa malu
memegang tampuk kekuasaan negara meskipun menang pilihan raya dengan
cara kotor.
“Tiada gunanya persiapan PRU ke 14 selagi konflik, kecelaruan dan
pembohongan PRU 13 masih lagi belum selesai. Tanpa penyelesaian PRU 13,
maka tidak akan ada perubahan dalam PRU ke 14,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat supaya turun beramai-ramai di
Himpunan Black 505 pada 22 Jun ini di Kuala Lumpur bagi menyatakan
bantahan terhadap SPR.
Sementara
itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, Najib bukan perdana
menteri bagi majoriti rakyat Malaysia, berdasarkan 51 peratus undi
popular yang berpihak pada Pakatan Rakyat.
“Namun, dengan pelbagai pembohongan yang dilakukan bagi mengekalkan
kuasa, akhirnya undi majoriti yang diperolehi PR dinafikan. Situasi ini
tidak boleh dibiarkan lagi sekiranya rakyat mahu perubahan berlaku dalam
negara,” katanya.
Hadir sama dalam himpunan itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu,
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Bukit
Bendera, Zairil Khir Johari, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...