Kit Siang tunggu tindakan polis ke atas Mahathir
Kit Siang bersama pemimpin DAP lain selepas sidang media, semalam.
 
JOHOR BAHRU - DAP kini menunggu tindakan PDRM dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail  ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa mengeluarkan kenyataan hasutan dalam blognya.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, beliau kini lebih percaya Dr Mahathir merupakan dalang yang mereka-reka penipuan menerusi artikel ‘Gelang Patah’ dalam blog chedet.cc.
Malah katanya, Dr Mahathir sebelum ini pernah menggunakan taktik sama ketika zaman pemerintahannya dengan mewujudkan politic of fear dan ugutan pada Pilihan Raya Umum tahun 1990.

“Ketika itu dia mengatakan Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengkhianat agama dalam media apabila pemimpin terbabit memakai penutup kepala masyarakat Kadazan kononnya terdapat simbol salib ketika berkunjung ke Sabah.

“Kemudian, terdapat iklan pada media arus perdana yang mewujudkan ketakutan dan panik dalam kalangan pengundi dalam sebuah akhbar Melayu dengan tajuk ‘Sokong Membawa Rebah’ diselitkan beberapa gambar ganas.

“Terkini, Dr Mahathir dalam blognya guna taktik sama apabila menuduh saya mahu masyarakat Cina di Gelang Patah dan Johor menolak kerjasama dan perkongsian bersama Melayu; menggesa masyarakat Cina Johor tidak menyukai dan membenci Melayu bagi mewujudkan konflik antagonis antara kaum dan mewujudkan suasana tidak baik antara Cina-Melayu,” katanya, semalam.

Kit Siang berkata, ketiga-tiga dakwaan Dr Mahathir dalam blog itu merupakan satu penipuan dan kepalsuan kerana dirinya tidak pernah sesekali mengucapkan kenyataan tidak baik sebaik sahaja dipilih menjadi calon Parlimen Gelang Patah serta sepanjang 47 tahun berkecimpung dalam politik.

“Apa yang saya lakukan adalah memupuk kepercayaan yang lebih besar antara kaum sekali gus bekerjasama untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu.

“Saya sudah beri beliau peluang untuk mengakui dan memohon maaf atas kenyataan dikeluarkan kerana apa dinyatakan menjadikan PRU13 sebagai pilihan raya umum paling kotor dalam sejarah tanah air, namun dia enggan buat sedemikian,” katanya.

Mengulas mengenai isu video seks yang didakwa melibatkan pemimpin Pas, Kit Siang berkata, tindakan itu disifatkan sebagai kempen politik kotor.

Katanya, ia bukan satu perkara baru di tanah air, malah ia pernah dilakukan ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir./SinarHarianOnline