KUALA LUMPUR 14 APRIL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
perlu mengadakan sidang media segera untuk memaklumkan kepada Yang Di
Pertuan Agong selepas Pakatan Rakyat menang majoriti dalam Pilihan Raya
Umum ke 13.
Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, ia bagi
membolehkan Agong menintahkan Anwar segera ke istana bagi proses
pelantikan perdana menteri baru.
“Secara
formal kuasa pemerintahan negara berada di tangan Agong tetapi ia hanya
boleh dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang mempunyai mandat rakyat;
sesuatu yang dilaksanakan melalui konsep bertanggungjawab kepada
parlimen, khususnya Dewan Rakyat.
“Jadi strategi yang perlu dilakukan Anwar sebaik sahaja PR menang 112
kerusi nanti ialah membuat sidang media dan menyatakan beliau menunggu
titah Agong untuk menjemput beliau ke istana bagi dilantik sebagai PM
baru.Pelantikan kabinet akan dibuat selepas itu,” katanya dalam satu
kiriman email kepada Keadilandaily.
Menurut Aziz, tindakan itu bagi mengelakkan pihak tertentu menceroboh
ke istana dan memaksa pelantikan sebagaimana dilakukan bekas Ketua
Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun selepas parti pimpinannya
kalah dalam pilihan raya negeri Sabah pada 1985.
Katanya, istana juga perlu segera melantik sebuah kerajaan dan tidak
mengulangi kelewatan seperti PRU 1999 apabila kerajaan baru Dr Mahathir
Mohamad hanya dilantik 11 hari selepas keputusan pilihan raya
diumumkan.
Kelambatan ini, katanya menyebabkan kekecohan berlaku dalam sidang pertama Dewan Rakyat ketika itu.
Agong perlu proaktif
Aziz berkata demikian ekoran timbul pertanyaan mengenai senario yang akan terjadi jika Pakatan Rakyat menang dalam PRU kali ini.
Beliau berkata, hal ini tidak pernah berlaku di peringkat
persekutuan, dan kemungkinan BN akan membuat huru-hara dan kekecohan
jika Pakatan memperolehi majoriti di dewan rakyat.
“Siapa yang berkuasa ketika itu? Jawabnya tidak ada; yang ada
kerajaan sementara yang kerjanya setakat melaksanakan pentadbiran rutin
sahaja.
“Kerajaan ini tidak boleh meneruskan kerjanya sebaik sahaja ada parti
yang menang majoriti mudah dalam Dewan Rakyat; ertinya dalam PRU yang
baru saja tamat,” ujar calon KEADILAN bagi Parlimen Sabak Bernam ini.
Kata Aziz, perlembagaan tidak memberi sebarang panduan bagaimana
senario itu hendak ditangani, namun ia mempunyai semangat tertentu
berasaskan demokrasi yang perlu diteliti.
“Senario itu menyebabkan Agong kena proaktif; perlembagaan meletakkan
tanggungjawab melantik kerajaan kepada baginda dengan secepat mungkin.
“Ini kerana baginda perlu ada kerajaan yang menasihati baginda
sepanjang masa. Dalam bahasa yang mudah perlu ada kerajaan yang
menjalankan pentadbiran dan kerajaan ini perlu ada mandat; yakni
kerajaan ini boleh bertanggungjawab kepada parlimen iaitu Dewan Rakyat,”
ujarnya
Bagaimanapun, beliau yakin kekecohan sedemikian dapat dielakkan
ekoran jaminan Datuk Seri Najib Razak untuk membenarkan peralihan kuasa
secara aman ketika mengumumkan pembubaran dewan rakyat, 3 April lalu.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...