PETALING JAYA: Kenyataan yang dibuat oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani pencerobohan di Sabah
telah menjejaskan operasi dan kedaulatan negara, kata Pengarah strategi
PKR, Rafizi Ramli.
Beliau merujuk kepada kenyataan berasingan
yang dilaporkan di negara ini dan Filipina semalam bahawa Najib mengakui
beliau hanya mula bertindak mengambil jalan ketenteraan apabila lapan
anggota polis terbunuh.
Jelas Rafizi, kenyataan Najib itu
mengesahkan keraguan banyak pihak sebelum ini bahawa Najib mengambil
masa yang terlalu lama untuk berunding dengan pencerobohan Sulu.
PKR
berpendapat, adalah wajar seluruh operasi keselamatan di Sabah
diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
dan PDRM tanpa campur tangan politik.
"Ini untuk mengelakkan
berulangnya salah pertimbangan di peringkat awal pencerobohan apabila
ketenteraan hanya dibuat apabila nyawa anggota keselamatan terkorban
setelah rundingan yang panjang tidak membuahkan hasil,"katanya dalam
sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Tambahnya, demi
menjaga keselamatan anggota tentera dan polis yang melaksanakan operasi
di Sabah, wajarlah keputusan diserahkan kepada ATM dan PDRM tanpa
terlalu terikat dengan keputusan politik.
Rafizi turut melahirkan
kebimbangan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Kabinet
Filipina Rene Almendrass bahawa Najib bersetuju untuk tidak mengambil
sebarang tindakan terhadap penceroboh Sulu dengan syarat mereka hanya
perlu meninggalkan atau menyembunyikan senjata dan meninggalkan Sabah.
"Lebih
membimbangkan laporan itu turut menyebut persetujuan pentadbiran Najib
untuk membuka kembali soal tuntutan terhadap Sabah yang di bawa oleh
penceroboh Sulu.
"Kedua-dua keputusan itu, jika benar, menjejaskan kedaulatan negara," katanya.
Tegas
Rafizi, tawaran untuk penceroboh meninggalkan atau menyembunyikan
senjata tanpa dikenakan apa-apa tindakan memberi isyarat yang buruk
bahawa kerajaan Malaysia boleh bertolak ansur dengan penceroboh
sedemikian rupa.
"Ini akan menjemput lebih banyak penceroboh di
masa hadapan apabila mereka boleh menyusup masuk dan mengambil semula
senjata yang disembunyikan," katanya.
Katanya, perkembangan ini
memberi gambaran bercelarunya tindak balas dan keputusn yang dibuat oleh
Najib Tun Razak dalam menangani peristiwa pencerobohan ini.
"Sebagai
Perdana Menteri, beliau tidak ada pilihan kecuali menjawab persoalan
ini di dalam sidang parlimen mengenai pencerobohan di Sabah.
"Jika
beliau terus mengelak maka keraguan di pihak rakyat tertanya-tanya
kenapa krisis ini tidak ditangani dengan lebih tegas dan cepat akan
terus berlegar," katanya./HarakahDaily
JIHAD EKONOMI SERTAI NOW!!.... CEPAT TERKINI!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...