KUALA LUMPUR, 31 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu
berundur dan memberi laluan kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin
jika gagal meraih majoriti besar dalam pilihan raya umum ke-13 tahun
ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kenyataan bekas perdana menteri itu memberikan gambaran Najib
berhadapan tugasan besar bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali
mendapat majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen agar kerajaan dapat
melaksanakan segala polisi tanpa gangguan daripada pembangkang.
"Jika dia gagal, sudah tentu dia harus berundur," kata Dr Mahathir (gambar) kepada pemberita selepas forum anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di ibu kota hari ini.
Walau bagaimanapun, Dr Mahathir menambah, terpulang kepada ahli-ahli
Umno untuk menetukan nasib presiden mereka sekiranya gagal melebihi
pencapaian bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi.
"Ianya terpulang kepada ahli untuk tentukan masa depannya.
"Ahli berhak untuk tentukan siapa akan menerajui parti selepas
pilihan raya," kata Mahathir menjawab soalan kepada wartawan tentang
sama ada Najib perlu memberikan laluan kepada Muhyiddin ataupun tidak
jika gagal meraih majoriti besar.
Dr Mahathir sebelum ini juga berkata kerajaan sedia ada ketika ini
adalah sebuah kerajaan yang lemah dan menyifatkan keberanian serta
kelantangan banyak pihak yang mengecam kerajaan adalah berpunca daripada
keputusan lalu yang menyaksikan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN)
hilang majoriti tradisionalnya.
“Ini soal kuat dan lemah, sekarang kita (Umno) lemah dan tanpa
majoriti 2/3 kita akan terus menjadi lemah,” kata mantan perdana menteri
itu.
“Kalau kerajaan kuat, orang tidak akan berani mencabar kerajaan,”
kata beliau pada satu forum 17 Januari lalu anjuran Karangkraf.
Mengikut tradisi dalam Umno, seseorang pemimpin yang gagal memberikan
kemenangan secara majoriti akan menyebabkannya disingkir seperti yang
berlaku kepada Abdullah pada 2008 dan juga Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj yang tewas pada pilihan raya lalu.
Menjelang PRU yang akan diadakan tahun ini, Najib merayu agar
pengundi memberikan mandat baru kepadanya untuk meneruskan dasar
reformasi yang boleh merangsang Malaysia ke hadapan dan lebih baik
walaupun mengakui kelesuan parti itu dan gabungan pemerintah BN itu ke
arah perubahan.
Najib berkata mandat besar diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat
dalam ekonomi global untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Di samping itu, Najib juga mengakui bahawa BN dan parti utama, Umno
kurang popular sejak tahun kebelakangan ini disebabkan kelemahan tetapi
menggesa pengundi memberinya peluang untuk membuat perubahan yang
diperlukan.
Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan
raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi persekutuan dan 505
kerusi di 12 negeri.
Najib berhadapan misi paling getir menjelang pilihan raya tahun ini
yang dianggap paling sengit dalam sejarah negara sejak mencapai
kemerdekaan, malahan beliau sehingga kini masih belum memutuskan senarai
nama calon yang akan bertanding serta berteka-teki dengan dengan tarikh
pilihan raya yang perlu diumumkan selewat-lewatnya April ini./TheMalaysiaInsider
Extra income dari rumah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...