PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini menghidupkan semula kes
saman fitnah RM100 juta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Panel hakim tiga anggota dipengerusikan Datuk Ramly Ali sebulat suara
membenarkan rayuan Anwar bagi menghidupkan semula saman sivil beliau
terhadap Anifah atas kapasiti peribadi menteri itu.
Kes itu juga diperintahkan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di hadapan hakim yang lain.
Panel yang turut dianggotai Datuk Anantham Kasinater dan Datuk David
Wong Dak Wah, bagaimanapun menolak dengan kos rayuan Anwar untuk
menghidupkan semula samannya terhadap Anifah atas kapasiti rasmi beliau
sebagai Menteri Luar dan kerajaan Malaysia.
Pada 5 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan
permohonan Anifah dan kerajaan untuk membatalkan saman Anwar terhadap
mereka berhubung tuduhan yang didakwa dibuat menteri itu pada Mei 2010
semasa sidang akhbar di Jabatan Negara di Washington.
Panel itu memerintahkan Anwar membayar RM10,000 sebagai kos perundangan.
Peguam yang mewakili Anifah, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah
memberitahu mahkamah beliau menerima arahan untuk membawa kes itu ke
Mahkamah Persekutuan.
Pada 27 Mei 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasiti peribadi dan
rasmi beliau dan kerajaan Malaysia mendakwa menteri itu memfitnahnya
dalam sidang akhbar bersama Anifah dan Setiausaha Negara Amerika
Syarikat Hillary Clinton.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa tuduhan Anifah tidak berasas dan cuai.
Beliau mendakwa kenyataan Anifah telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing.
Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan
ganti rugi teladan, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Anwar diwakili peguam R.Sivarasa manakala Peguam Kanan Persekutuan
Amarjeet Singh mewakili Anifah, atas kapasiti rasmi beliau dan kerajaan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...