Pages - Menu
▼
Pages - Menu
▼
Sabtu, Disember 22, 2012
Bakar jambatan antara simbol kejahatan Umno
Apabila bercakap fasal berbagai tindakan agresif para pembela dan pejuang bangsa di dalam Umno, kononnya untuk mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara, maka teringatlah beberapa peristiwa besar yang telah dirakam oleh sejarah. Peristiwa dan kejadian itu juga secara tidak langsung menunjukkan akan kerakusan, hilang akal politik orang Melayu khasnya dan politik Malaysia amnya.
Ada beberapa kejadian yang berlaku, sebenarnya amat perit untuk dikenang tetapi terpaksa disebut untuk dijadikan iktibar. Biarlah generasi terkini menilainya sendiri dari perspektif mereka.
Semua peristiwa ini sebagai tanda mata kepada kecederaan politik bangsa Melayu. Kejadian-kejadian yang tidak sepatut berlaku ini jika diukur kepada hakikat sebangsa dan seagama, tetapi ia berlaku dan menjadi bukti betapa sadis politik Melayu yang dilakukan oleh Umno. Umno telah bertindak kejam dan di luar batas-batas demokrasi, dan ada kalanya di luar batas-batas undang-undang dunia sekalipun. Batas agama dan adat tidak perlu dikira lagi kerana Umno parti paling Melayu!
Perbuatan atau kejahatan politik Umno ini bukan sehari dua ini, bukan bermula dengan peristiwa 'menagur' bas PKR, mengganggu ceramah Anwar, atau pun menyerang petugas-petugas di tempat ceramah seperti berlaku di Gombak Selatan, tetapi ia berlaku sejak tahun 1969 lagi kira-kira lebih 40 tahun lalu. Bahkan Umno menubuh skuad khas untuk melakukan pengkhianatan dan gangguan terhadap demokrasi. Bolehlah dikatakan kejahatan Umno bermula sejak di dalam telor lagi.
Di antara peristiwa membuktikan kekejaman dan kezaliman Umno ialah, kejadian membakar jambatan atau gertak di Kampung Gertak No 3 di dalam Dewan Undangan Negeri Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan di kampung saya sendiri. Bolehlah dianggap kejadian ini berlaku di hadapan mata saya sendiri.
Kejadian itu berlaku pada tahun 1969 semasa pilihan raya umum. Menjelang hari mengundi pemuda tahan lasak Umno dari Rantau Panjang telah bertindak membakar jambatan di kampung Gertak 3, yang menghubungkan Kampung Baruh Pial, Kubang Kual dan Bukit Tandak dengan pusat mengundi di Kampung Bakat. Gara-gara pembakaran itu menyebabkan lebih 200 orang pengundi tidak dapat keluar mengundi.
Natijah dari perbuatan itu calon Pas Nawawi Ahmad kalah kepada Hussein Ahmad dengan majoriti tipis. Kemenangan Hussein Ahmad yang disifatkan sebagai kemenangan dengan cara jahat itu memberi peluang pertama kali untuk Hussein menjadi wakil rakyat selepas tewas beberapa kali sebelum itu. Sebenarnya tidak menjadi masalah kalau Hussein menang, tetapi kesan psikologi politik dari peristiwa itu besar dan tambah malang lagi kejadian itu memburukkan kitab sejarah negara.
Dengan kejadian itu juga dunia mengenali akan kejahatan orang politik di daerah sempadan itu.
Semasa balik ke kampung minggu lepas saya mengunjungi lokasi kejadian itu untuk mengingat dan menghimbau kembali peristiwa berkenaan. Jambatan atau pun anak sungai yang dibina jambatan (gertak) itu sudah pun tiada. Jalan yang dulu bertanah merah dan berdebu kini sudah diturap tar. Kesan-kesan puing-puing pembakaran juga sudah tidak ada.
Lama saya berdiri dan memerhati di sekeliling lokasi itu sambil membayangkan bagaimana kecewa dan peritnya penyokong Pas melihat kejadian itu menyebabkan mereka gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi, kerana perhubungan ke tempat mengundi sudah putus. Saya bayangkan tentu adalah mak cik dan pak cik menangis, kegeraman sambil melihat jambatan dimakan api. Namun mereka hanya bisa menangis dan berdoa mengharap Allah memberi petunjuk kepada semua.
Generasi hari ini termasuk di Gual Periok dan Rantau Panjang tidak pernah tahu bahawa di situ pernah berlaku kejadian menyayatkan hati. Buku sejarah di sekolah menengah dan rendah tidak mencatat peristiwa itu sebagai lambang kerakusan politik negara.
Namun bagi generasi yang lahir tahun 50-an dan 60-an yang peka kepada sejarah dan politik tetap akan mengingatkan sesuatu yang pernah terjadi di situ. Peristiwa itu kemas melekat di sanubari mereka. Walaupun api yang membakar jambatan kayu itu sudah padam, asapnya sudah dibawa angin dan dihirup kabus namun nyalaannya masih menyambar mata dan minda orang-orang generasi 60-an seperti saya.
Selamanya peristiwa yang pernah berlaku di lokasi itu akan diingat dan dikenang, bukan saja oleh orang-orang Pas dan rakyat di Gual Periok tetapi orang Pas dan rakyat Malaysia yang mencintai demokrasi juga, dan oleh mereka yang membenci kerakusan dan kebiadaban si pelakunya. - http://msomelayu.blogspot.com /HarakahDaily
Beriklan Sambil Menjana Puluhan Ribu Sebulan.. Klik Sekarang!!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...