KUALA LUMPUR 30 Oktober: Pakatan Rakyat (Pakatan) mensasarkan
kehadiran 50,000 peserta pada Pra-Himpunan Kebangkitan Rakyat di
Senawang, Sabtu ini.
“Kita mengharapkan negeri-negeri di selatan tanah air iaitu Johor,
Melaka dan Negeri Sembilan dapat menghantar seramai mungkin peserta
memandangkan kedudukan mereka lebih hampir dengan lokasi himpunan,” kata
Pengarah Himpunan, Mohamad Sabu.
Menurut Timbalan Presiden PAS itu, himpunan tersebut akan
menggabungkan empat warna yang menjadi simbol kepada beberapa tuntutan
rakyat yang masih belum ditunaikan kerajaan sehingga kini.
“Warna-warna tersebut terdiri daripada merah, kuning, hijau dan oren,” jelasnya.
Beliau berkata, warna kuning mewakili Himpunan Bersih yang menuntut
lapan perkara, manakala hijau berkaitan dengan alam sekitar yang
membantah projek Lynas serta Pengerang.
“Warna merah mewakili tuntutan royalti rakyat Kelantan, manakala oren
mewakili tuntutan peneroka Felda. Jadi terserah kepada peserta untuk
memilih warna baju untuk dipakai pada himpunan itu nanti,” jelas Mat
Sabu dipetik Harakah.
Tambahnya, himpunan itu adalah ekoran sikap kerajaan yang masih tidak
melayan tuntutan lapan perkara pada Himpunan Bersih sebelum ini
termasuk membersihkan senarai daftar pemilih.
“Kita lihat daftar pemilih masih tidak dibersihkan sepenuhnya,
terdapat terlalu banyak nama pengundi meragukan, sebab itu kita
mengambil keputusan mengadakan himpunan ini bagi mendesak kerajaan
memenuhi tuntutan kita,” tegasnya.
Program itu merupakan pemula kepada program jelajah ke seluruh negara yang akan diadakan selepas itu.
Ia dijadual bermula jam 4 petang hingga 12 malam dengan dihadiri semua kepimpinan utama Pakatan Rakyat.
Antaranya
termasuk Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Himpunan Kebangkitan Rakyat sepatutnya dijadualkan berlangsung di
Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 November ini namun ditangguhkan kerana
stadium tersebut akan digunakan untuk Pertandingan Bolasepak Piala
Suzuki AFF.
Ia telah diumumkan ditunda ke Januari tahun hadapan dan pihak
penganjur sedang membuat permohonan untuk mendapatkan sama ada Stadium
Nasional Bukit Jalil atau Stadium Merdeka.
Bagaimanapun, pelancaran himpunan itu tetap dibuat pada tarikh sama
tetapi dengan mengubah tempatnya ke Senawang Negeri Sembilan.
Dari Negeri Sembilan, program jelajah Kebangkitan Rakyat pula akan bergerak ke seluruh negara mengikut zon dan negeri.
Menurut Mat Sabu, mereka akan bergerak ke setiap negeri termasuk
Kedah, Terengganu, Pahang, Johor serta Perak dan diikuti negeri-negeri
lain sebelum kemuncak himpunan tersebut di ibu negara Januari tahun
hadapan./KeadilanDaily
PANAS!!!! MINYAK PETROL JIMAT 50% ,DISAMPIN ITU DUIT MASUK!!!!!!!!!!! DAFTAR SEKARANG!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...