KUALA LUMPUR 1 Oktober: Untuk melawan kezaliman, Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas Pakatan Rakyat wajib menang Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.
“PRU 13 makin hampir, ini pertarungan agung kita, kita wajib menang untuk selamatkan negara ini,” seru Ketua Umum KEADILAN itu.
Anwar berkata, kerajaan Umno yang kini di hujung hayat lupa bahawa
rakyat memerhati dan menilai semua perbuatan rasuah dan kronisme oleh
pemerintah elit.
“Jangan
sekali–kali kita perkecilkan kebijaksanaan rakyat untuk memilih dan
melakukan perubahan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Tambah beliau, reformasi yang diperjuangkan bukan hanya berkisar soal
pertukaran kerajaan semata-mata, malah mahu satu reformasi sistem yang
memperkasakan rakyat.
“Reformasi yang kita akan laksanakan adalah untuk memastikan setiap rakyat menikmati limpahan ekonomi yang dikecapi,” katanya.
“Kita bergerak sebagai satu jentera, bersama–sama teman Pakatan
Rakyat yang lain, iaitu PAS dan DAP. Kita mampu mengambil alih Putrajaya
dan mentadbir Kerajaan Pusat jauh lebih baik dari mereka yang sedia
ada,” kata Anwar mengingatkan seluruh jentera KEADILAN.
Beliau berucap pada program Rapat Pimpinan Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Sabtu lalu.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyeru
anggota parti terus komited dalam perjuangan menegakkan keadilan dan
mengangkat darjat rakyat.
Beliau berkata, anggota parti harus sentiasa menggilap semangat dan idealisme, terutama menjelang PRU 13.
“Reformasi tidak mungkin tercapai tanpa kekuatan akhlak dan semangat.
Jangan ada pihak yang hanya kejar jawatan dan tanpa sedar meresapi cara
pemerintah apabila memegang kuasa kelak,” tegasnya.
Wan Azizah berkata, pengalaman pahit seperti pemimpin dan aktivis
yang mengkhianati perjuangan dan menyerah kalah harus dijadikan iktibar.
“KEADILAN kini bukan hanya parti pembangkang…Kita bersama-sama dalam
Pakatan Rakyat mentadbir empat negeri dan InsyaAllah akan mentadbir
negara nanti,” kata beliau lagi semasa ucapan perasmian.
Program sehari itu disertai 1,400 perwakilan dari Cabang seluruh
negara bertujuan sebagai persiapan kepada penggerak parti menjelang PRU.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Beaufort, Datuk
Seri Lajim Ukin; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan
bekas Bendahari Jawatankuasa Perhubungan Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim
Menudin ke program itu.
“Kini
KEADILAN semakin mantap…Ia juga tanda keterbukaan kita dalam menerima
(mana-mana pihak) untuk sertai perjuangan,” katanya merujuk penyertaan
tokoh-tokoh itu dalam Pakatan Rakyat.
“(Malah) Tokoh silam China, Li Si berkata, laut menjadi dalam kerana
menerima air dari semua sungai, dan gunung menjadi tinggi kerana tidak
menolak mana-mana tanah dan batu,” kata Wan Azizah lagi.
Selepas ucapan itu, lagu rasmi kempen PRU 13 berjudul ‘Semarak
Reformasi’ turut didengarkan buat kali pertama oleh penyanyi Ferus
Rusli. Lirik asalnya ditulis Allahyarham Sasterawan Negara, Usman Awang,
manakala versi Mandarin pula oleh Ruiye./KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...