KUALA LUMPUR 5 Oktober: Hasrat Pakatan Rakyat (Pakatan) menubuhkan
Perbadanan Perumahan Negara bagi membina perumahan mampu milik merupakan
langkah terbaik ekoran kegagalan Umno BN membantu rakyat memiliki rumah
sendiri.
Pengerusi Biro Kerajaan Tempatan KEADILAN, Hee Loy Sian berkata,
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia
(PR1MA) di bawah BN tidak mencapai objektif kerana ia projek perkongsian
swasta yang menjadikan keuntungan sebagai faktor utama.
“Dengan penubuhah perbadanan ini, ia diurus sepenuhnya di bawah
kerajaan, kalau SPNB dan PR1MA bergantung kepada syarikat swasta, mereka
akan utamakan keuntungan.
“Ini berbeza dengan tawaran Pakatan kerana kita mahu berikan rakyat
rumah yang selesa, sekurang-kurang keluasan 750 kaki persegi. Kita tidak
mahu nanti selepas lima tahun ada masalah penyelenggaraan,” katanya
ketika dihubungi.
Jelas beliau, bagi melaksanakan perumahan itu, Pakatan akan memperuntukkan RM5 bilion untuk tahun pertama pemerintahan.
“Manakala untuk tahun seterusnya, peruntukan RM2 bilion diberikan
bagi tempoh lima tahun,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan itu.
Hee berkata, bagi projek terbengkalai pula, Pakatan akan melaksanakan
polisi ‘bina dan jual’ untuk projek kos sederhana rendah bernilai bawah
RM300,000 seunit.
“Perumahan terbengkalai akan diubah kepada polisi bina dan jual kerana tidak mahu lagi rakyat tertipu.
“Tapi kita akan kenakan bayaran 10 peratus terlebih dahulu. Kaedah
ini kerana mahukan pemaju bina hingga siap, kemudian baru jual,”
ujarnya.
Pakatan dalam Belanjawan 2013 berhasrat membina 100,000 unit rumah
mampu milik di bandar-bandar utama dengan harga antara RM130,000 hingga
RM300,000 oleh Perbadanan Perumahan Negara.
Ia diharap membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk
memiliki hartanah bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000.
Sebaliknya, BN dalam Bajet 2013 hanya memperuntukkan RM1.9 bilion
bagi membina 123,000 unit rumah tanpa memberikan gambaran harga yang
akan dilaksana oleh SPNB, PR1MA dan Jabatan Perumahan Negara./KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...