Senator PKR Dr Syed Husin Ali berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim
memaklumkannya kepadanya bahawa anggota parlimen Kulim Bandar Baharu
Datuk Zulkifli Noordin meminta bayaran bagi mengosongkan kerusi untuk
memberi laluan kepada ketua pembangkang itu bertanding.
"Yang
mula-mula beritahu saya adalah Anwar Ibrahim ketua umum PKR," kata Syed
Husin sewaktu menjawab soalan peguam, Hasnal Rezua yang mewakili
Zulkifli dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Syed
Husin pada 27 Januari lalu menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta,
ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif yang dirasakan wajar oleh
mahkamah.
Tuntutan itu dibuat terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, ketua pengarang Utusan Malaysia Datuk Aziz Ishak dan Zulkifli.
Dalam kenyataan tuntutannya, Syed Husin berkata Utusan Melayu dan Abdul Aziz dengan niat jahat dalam akhbar Utusan bertarikh
20 November 2011 menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadap beliau
dalam berita bertajuk "Zul Noordin nafi dakwaan Syed Husin".
Menurutnya, Zulkifli menerbitkan perkara sama dalam blog beliau dengan tajuk "Anjing-anjing Pencen".
Syed Husin turut memohon injunksi menghalang semua defendan daripada menerbitkan sebarang kata-kata bersifat fitnah tersebut.
Menurut
Syed Husin lagi, Anwar memberitahunya, Zulkifli meminta bayaran
RM60,000 sebagai balasan untuk mengosongkan kerusi parlimennya.
Perkara yang sama katanya turut dinyatakan Anwar kepada ahli-ahli biro politik PKR.
"Perkara itu bukan sahaja diberitahu pada saya tetapi juga kepada biro politik," katanya.
Justeru, beliau percaya Anwar bercakap benar tentangnya.
Beliau turut percaya kepada Anwar kerana beliau telah mengenali Anwar buat masa yang lama.
"Beliau adalah pelajar saya (di Universiti Malaya), rakan tahanan saya (dalam penjara) dan kemudiannya pemimpin saya.
"Jadi apabila beliau beritahu (perkara itu), saya percayakannya," kata Syed Husin.
Bercakap lanjut, Syed Husin berkata Zulkifli berbohong dalam tulisan blognya yang menjadi tumpuan utama saman itu.
Menurutnya, beliau tidak pernah menemui Zulkifli sebagai wakil Anwar
dan menawarkan jawatan dalam anak syarikat Selangor sebagai balasan
mengosongkan kerusi parlimen yang disandangnya.
"Apa yang beliau sebutkan adalah bohong sepenuhnya apabila mendakwa saya mewakili Anwar.
"Beliau juga berbohong tentang dakwaan saya memberitahunya saya
dijanjikan jawatan senator jika melepaskan jawatan timbalan presiden
PKR," kata Syed Husin.
Tambahnya lagi, kesediaan Zulkifli
melepaskan kerusinya walaupun belum bersetuju berbuat demikian jika
syaratnya tidak dipenuhi memberikan gambaran salah kepada orang ramai.
"Kepada orang ramai, beliau akan kelihatan seperti malaikat apabila menarik diri (daripada kerusinya).
Syed Husin diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya sementara Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Utusan dan Aziz.
Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera itu akan disambung semula pada 5 November depan./MalaysiaKini
Bisnes Online Terbaru!!! Panas!!!! Pedas!!!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...