SHAH ALAM 16 OGOS : Bekas Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong
mendedahkan konspirasi berhubung rampasan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat
di Perak pada tahun 2009 lalu dalam wawancaranya yang dipetik melalui
PerakDaily.
Wawancara dikendalikan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul
Munir, Abdullah berkata beliau dipaksa mengeluarkan kenyataan atas
arahan pihak ‘atasan’ mengatakan Speaker yang sah ketika itu, V
Sivakumar sebagai tidak sah.
Katanya, tindakan itu adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan dan tidak berupaya untuk mengelak.
“Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.
“Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu
keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai setiausaha
DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontroversi itu.
“Daripada kenyataan itu juga, sidang DUN terpaksa diadakan di bawah
pokok kerana Adun Pakatan dihalang memasuki dewan,” katanya dalam
wawancara itu.
Tambahnya, Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar
Jamaluddin tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan.
“Dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi
yang memutuskan beliau tidak terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah
Rayuan memutuskan sebaliknya,” katanya.
Jelasnya, jika mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan
Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu
disabitkan dengan salah laku tatatertib atau hilang kelayakan sebagai
Adun, perletakan jawatan dan apabila berlakunya pembubaran DUN.
“Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri
Besar dan sekiranya majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar
ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon
perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN bagi pilihan raya semula
diadakan,” katanya.
Ketika mengulas insiden Sivakumar diusung keluar ketika sedang
menjalankan tugas sebagai Speaker, Abdullah berkata Umno-BN ketika itu
sebenarnya tidak mempunyai kuasa sepenuhnya di dewan.
Bagaimanapun, Umno-BN tidak menghiraukannya malah mereka tidak
‘nampak’ ada satu lagi institusi ataupun jawatan Speaker yang ketika itu
masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.
“Tidak lengkap mendapat jawatan Menteri Besar jika belum menukar
Speaker DUN kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan ketika itu
masih Pakatan Rakyat jadi bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di
Dewan Negeri.
“Malah semasa sidang DUN pada 7 mei 2009 yang berlaku dalam keadaan
tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya
mempengerusikan sidang DUN.
“Tetapi secara tiba-tiba Timbalan Speaker, Hee Yit Fong mengadakan
satu sidang di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai
Setiausaha DUN berasa pelik,” katanya.
Abdullah menjelaskan mengikut Peraturan Tetap Dewan, tiada satu pasal
pun yang membenarkan keadaan itu berlaku dan itu menunjukkan Peraturan
Tetap Dewan dilanggar.
“Saya tidak pasti siapa yang mengusung Sivakumar ke luar dewan dan
sudah pasti ia bukan kakitangan dewan kerana saya mengenali semua
staff-staff tambahan yang dilantik bagi membantu Bentara Dewan.
“Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak
pernah berlaku di mana-mana Negara Komanwel mahupun negara lain,”
katanya./Selangorku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...