Nurul Izzah Anwar
NURUL IZZAH ANWAR
 
PETALING JAYA – Pakatan Rakyat (PR) masih memerlukan khidmat dan keringat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Anaknya yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau tidak menafikan khidmat yang ditunjukkan ayahnya diperlukan dalam perjuangkan hak rakyat mendapatkan keadilan.

Terdahulu, dalam laporan Financial Times Selasa lalu, Anwar menimbang akan bersara daripada politik sekiranya PR gagal merampas Putrajaya pada PRU13.

Katanya, beliau akan kembali kepada aktiviti asalnya sebelum menyertai politik iaitu mengajar sama ada di dalam ataupun luar negara.

Menurut Izzah, berkemungkinan kenyataan yang dikeluarkan lebih meminta keseluruhan jentera PR secara keseluruhannya menumpukan usaha dalam proses memenangi PRU13.

“Beliau adalah pemimpin yang berjaya menyatupadukan parti pembangkang menjadi satu pakatan dan seharusnya ramai ahli parti tidak mahu kehilangan pemimpin yang berpengalaman seperti beliau.

“Pada saya adalah penting untuk beliau beri mesej tunjukkan tahap keseriusan perjuangan amat penting khusus untuk pilihan raya dalam gerakan reformasi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ditanya mengenai pengganti selepas Anwar, Nurul menegaskan persoalan tersebut tidak muncul, kerana parti adalah milik semua dan PR perlu bekerja keras memastikan kesinambungan perjuangan dapat dicapai.

“Ini bukan melibatkan individu dan personaliti. Itulah yang beliau ingin sampaikan berkaitan dengan isu perjuangan yang seharusnya dipikul segenap lapisan masyarakat.

“Jadi, apa pun yang dibuat seharusnya kami akan melakukan yang terbaik dengan harapan bahawa sistem pilihanraya itu dapat dilaksanakan dengan adil dan bersih kerana setakat ini, itulah halangan besar kami semua hadapi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Katanya, sekiranya PR menang pada PRU13, ia adalah kejayaan besar untuk memberikan ruang kepada mereformasi sistem politik, ekonomi dan sosial./SinarHarian