rafizi ramli
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
 
SHAH ALAM - Selepas dua kes liwat dan satu pendedahan video “Datuk K” awal tahun lalu, PKR tidak melihat laporan blog pro-Umno semalam bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan laporan polis terbaru,  sebagai "satu ancaman."

Berdasarkan laporan blog itu, aduan polis telah dibuat oleh seorang pelajar dari utara Semenanjung petang semalam kononnya diliwat oleh Anwar.

Bagaimanapun blog itu mengakui ia tidak pasti kesahihan laporan itu.

"Saya tidak nampak parti (PKR) melihat apa yang ditulis oleh Papagomo sebagai satu  ancaman, tidak... tidak," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Menerusi satu mesej Twitter awal pagi tadi, Rafizi menyifatkan apa yang didedahkan menerusi blog papagomo sebagai sampah semata-mata.

"Saya boleh katakan parti sudah tidak melihat apa yang ditulis ini sebagai sesuatu yang serius selepas kami melalui tuduhan liwat yang pertama, yang kali kedua tahun 2008, dan tahun lalu, video yang dipertontonkan oleh Datuk K," kata Rafizi lagi.

Kira-kira 10 hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan penghakiman bertulis membebaskan Anwar daripada kes liwat, sebuah blog yang pro-Umno mendakwa satu laporan polis telah dibuat kononnya beliau meliwat seorang penuntut institut pengajian tinggi utara Semenanjung.

Sementara blog itu membawa laporan ini sejam sebelum tengah malam tadi, penyokong dan pegawai-pegawai Anwar dari PKR melihat ia sebagai konspirasi terbaru dan usaha terdesak pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk terus menyerang Anwar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Anwar telah dibebaskan daripada kes meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan awal Januari lalu. Susulan penghakiman bertulis itu, Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan dengan mengetengahkan sembilan alasan pada minggu lalu.

Saiful membuat laporan polis dia diliwat akhir Jun 2008.

Blog Papagomo menulis, dia mendapat maklumat ada satu laporan polis telah dibuat petang semalam terhadap Anwar, yang juga Ketua Umum PR dan PKR.

"Gomo baru mendapat maklumat bahawa petang tadi (semalam) ada laporan polis telah dibuat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh seorang mahasiswa dari utara yang menyatakan beliau telah diliwat oleh pemimpin PKR pada malam sebelumnya (kelmarin)," kata pemblog itu.

Bagaimanapun entri blog empat para itu berkata, dia tidak pasti sama ada laporan tersebut benar ataupun sebaliknya.

Mengulas lanjut, Rafizi juga berkata, kepimpinan PKR tidak begitu 'ghairah' dalam menangani krisis terbaru ini berbanding suasana akhir Jun 2008 dan awal tahun lepas.

"Dalam dua kes yang lalu, apabila kami mengetahui bahawa akan ada masalah yang bakal dihadapi, kepimpinan parti telah menanggil mesyuarat khas bersama dengan Datuk Seri Anwar.

"Kami tanya segala macam soalan seolah-olah satu soal siasat… di mana beliau, apa beliau buat waktu ini dan sebagainya. Kali ini, belum ada panggilan untuk hadir mesyuarat khas seperti dalam dua kes  yang lalu.

"Jadi, saya boleh berkata ini bukan satu perkara serius untuk diberi perhatian... apa pun kita tunggu sehari dua ini, lihat apa perkembangan," kata beliau sambil menambah kemungkinan blog papagomo hanya bertindak atas arahan "seorang dua daripad pihak sebelah sana."

"Hanya apabila laporan blog ini dipetik oleh media lain, kita boleh mengkategorikan laporan ini sebagai usaha bersepadu musuh kami untuk menyerang kami, Datuk Seri Anwar... kita tunggu dulu, tengok macam mana keadaan," katanya yang telah meneliti laporan beberapa akhbar arus ./SinarHarian