Tuan Guru Abdul Hadi Awang, | 27 Jun 2012 |
Saya
merasa hairan sekiranya Umno yang memimpin kerajaan BN tidak
mengizinkan pilihanraya diadakan di musim haji, kalau berlaku sebaliknya
memang menghairankan. Umno pernah menggunakan kuasanya mengadakan
pilihanraya umum di musim haji, kerana dasar dan konsep perjuangannya
terus berpegang teguh dengan nasihat Suruhanjaya Reid yang meletakkan
agama sebahagian sahaja daripada aspek politik dan urusan negara
sebagaimana Umno melaksanakan tugasnya menghapuskan tulisan jawi dan
meletakkan kedudukan agama yang ada di bawah kuasa raja-raja sekarang
tanpa perubahan walaupun kemerdekaan sudah berlalu lebih lima puluh
tahun. Maka mengadakan pilihanraya di musim haji terlalu kecil bagi
Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak ada hubungan dengan dosa dan
pahala boleh menipu, rasuah dan sebagainya. Kalau berdosa pun boleh
ditampung dengan haji dan umrah subsidi.
Kepada Umno ibadat haji boleh dipolitikkan, bukan sahaja mengadakan
pilihanraya di musim haji dengan menafikan hak mengundi kepada kalangan
umat Islam yang berada di Makkah atau Madinah. Pilihanraya boleh
diadakan di musim haji sekiranya mengurangkan sedikit undi yang boleh
memberi kemenangan kepada BN walaupun dengan majoriti kecil khususnya
di negeri-negeri utara dan Pantai Timur Semenanjung. Bahkan Umno boleh
mempolitikkan haji dengan mengeluarkan wang peruntukan kerajaan bagi
memberi subsidi haji kepada imam-imam, JKKK dan sebagainya. Walaupun
rukun haji diwajibkan kepada seseorang yang mampu secara individu bagi
dirinya dan berbuat kebajikan sunat kepada kalangan keluarga dan
sahabat. Maka memberi subsidi haji dan umrah oleh kerajaan tidak wajib
dan menerimanya juga tidak wajib, bahkan haram sekiranya menjejaskan
peruntukan rakyat miskin yang pendapatannya tidak mencukupi sara hidup,
begitu juga pelajar-pelajar miskin yang menuntut ilmu fardu kifayah.
Memang ternyata masih ramai yang tercicir dan ada yang dinafi dan
dibatalkan haknya kerana tidak menyokong Umno.
PAS tetap menegaskan bahawa memilih musim haji bagi tarikh
pilihanraya adalah bercanggah dengan Islam, kerana politik adalah
sebahagian penting bagi agama Islam dan menjadi syarat kepada
melaksanakan hukum-hukum Islam yang banyak, termasuklah membuktikan
Islam itu adil kepada seluruh manusia dan seluruh alam serta
melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar dengan kuasa
pemerintahan negara.
Saya telah menjelaskan hujah syarei dalam tulisan sebelum ini,
walaupun ramai yang tidak boleh menerimanya kerana asas ilmu feqah
politik yang tidak ada sedikit pun. Allah pernah menempelak para
pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat hajinya dan memakmurkan Al
Masjid Al Haram, di mana pahalanya seratus ribu kali ganda daripada
beramal di masjid yang lain daripada Masjid Madinah dan Masjid Aqsa.
Firman Allah:
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر
وجاهد في سبيل الله , لا يستوون عند الله والله لا يهدي القوم الظالمين .
التوبة 19
(Adakah kamu jadikan amalan memberi layanan minuman air kepada para
jamaah haji dan mengimarahkan Al Masjid Al Haram itu, sama seperti
kalangan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berjihad pada
jalan Allah (menegakkan agamanya )? Sebenarnya mereka tidak sama di
sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang
zalim ).
Mengundi adalah hak yang ditunaikan bagi memilih pemimpin dan
kerajaan. Kewajiban ini mengikut ajaran Islam adalah satu amanah yang
sangat besar dibebankan kepada umat Islam.
Firman Allah:
إن الله يأمركم أن تؤدوا الآمانات إلى إهلها وإذا حكمتم بين الناس أن
تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا . (النساء
).
Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan amanah dengan
menyerahkan kepada orang yang mampu menunaikannya. Dan apabila kamu
melaksanakan hukuman di kalangan manusia hendaklah berlaku adil,
sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan ajaran yang terbaik,
sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.)
Maka pilihanraya memilih pemimpin dan kerajaan adalah kewajipan besar
dalam ajaran Islam, bagi menunaikan amanah, menyerahkan amanah yang
menentukan baik dan buruk, adil dan zalim yang menjadi kepentingan umum
dan masa depan dunia sehingga akhirat. Rasulullah S..A.W. meletakkan
hilangnya amanah memberi tugas memimpin umat kepada orang yang tidak
melaksanakan Syariat Allah menjadi punca kemusnahan yang membawa
berlakunya ajal dunia. Memilih pemimpin bukan kerana kelayakan agama,
akhlak dan ilmunya tetapi kerana wang, pangkat dan sebagainya adalah
mengkhianati Allah dan Rasul.
Sebahagian besar para sahabat R.A. hanya bersembahyang jenazah
Rasulullah S.A.W. kemudian berundur meninggalkan upacara mengebumikan
jenazahnya yang mulia kerana menghadirkan diri dalam perhimpunan di
Thaqifah Bani Saidah, melaksanakan amanah yang lebih besar daripada
mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W. iaitu amanah pemilihan Khalifah
pertama, yang membuat keputusan majoriti memilih Abu Bakar R.A.
PAS hanya mampu mengerahkan segelintir ahlinya sahaja dengan
penyebaran ajaran politik Islam, supaya menangguhkan haji wajib kalau
berlaku pilihanraya, kerana memilih wajib menunaikan amanah besar yang
tidak boleh ditangguh kerana dipaksa. PAS tidak mampu menyebarkan
kefahaman ini kepada masyarakat Islam seluruhnya, kerana khutbah Jumaat
di masjid-masjid, ustaz-ustaz upahan dan media digunakan oleh BN bagi
menyempitkan fahaman umat Islam terhadap ajaran Islam dan menyebarkan
fitnah terhadap PAS melalui segala medan, termasuk media yang berlagak
Islam, mencampurkan dosa dan pahala, benar dan bohong, laksana lembu
yang mengibas ekor di belakang terhadap sesiapa sahaja dan hanya melihat
ke hadapan ke arah rumput yang boleh diisi ke dalam perut.
Warga Turki yang bekerja di Australia yang peka dengan amanah ini,
pulang ke negaranya dengan tambang berlipat kali ganda daripada
menunaikan haji. Mereka pulang untuk mengundi parti Islam sehingga
mengalahkan kaum Kamal Atarturk yang memaksa umat Islam Turki dengan
pemerintahan sekularisme yang melemahkan Turki dan merosakkannya. Warga
Mesir dan Tunisia di luar negara berjaya memenangkan parti Islam setelah
berlakunya kesedaran politik sehingga mengalahkan parti ala Umno di
negara masing-masing.
Harapan PAS kepada umat Islam di negara ini supaya bersedia
menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 walaupun Umno BN melaksanakannya tanpa
mengira musim haji. Tema politik itu kotor (politic is dirty), adalah
penipuan penjajah terhadap umat Islam supaya meninggalkan politik dan
memberi ruang dan peluang kepada mereka dan pengikut mereka menjajah
selama-lamanya dan menghalang Islam berdaulat. Sebenarnya merekalah yang
mengotorkan politik yang menjadi amanah Allah yang termasuk dalam
perkara kerasulan yang membawa rahmat Allah kepada seluruh alam dengan
melaksanakan Islam yang adil kepada semua dan matlamat kejadian manusia
yang dihisab pada Hari Akhirat nanti. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memberi
jaminan daripada Allah, bahawa sesiapa yang melaksanakannya dengan
sempurna menjadi kalangan pertama daripada tujuh jenis manusia yang
bernaung di bawah naungan Allah di padang Mahsyar.
Presiden PAS
Artikel Yang Wajib Di Baca Oleh Umat Islam Malaysia!!!
DSAI Jawab Tuduhan Umno Isu Israel
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...