KOTA BHARU, 16 Mei: Selepas disisih sejak Rancangan
Malaysia (RMK) Ke-5, akhirnya kerajaan Kelantan memutus membina sendiri
lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu membabitkan kos awal sebanyak RM500
juta.
Dan pada 28 Mei ini akan mencatat satu sejarah baru negara apabila
majlis pecah tanah pembinaan lebuhraya tersebut akan diadakan
berhampiran Felcra Berangan Mek Nab, Machang.
Jajaran lebuhraya pertama di Kelantan itu akan melalui Hutan Lipur Bukit Bakau.
Pengerusi
Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam
Musa berkata, projek sepanjang 33 kilometer tersebut dikendalikan Menta
Contruction Sdn Bhd dan Konsortium Temokin Vila Jelas JV Sdn Bhd.
Katanya, projek berkenaan akan dimulakan di seksyen III dari Bukit
Tiu, Machang sehingga ke Dusun Damar, Kuala Krai merupakan tanah milik
kerajaan negeri.
(Gambar: Husam menunjukkan jajaran Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai.)
“Projek itu dimulakan di seksyen III sebagai langkah untuk
menjimatkan masa kerana ia tidak perlu melakukan pengambilan balik tanah
rakyat.
“Manakala jajaran bertingkat dari Wakaf Che Yeh ke Kota Bharu
ditangguhkan sementara bagi menjimatkan kos,” katanya selepas mesyuarat
Exco di Kota Darulnaim hari ini.
Selain itu katanya, kos pembinaan dapat dikurangkan dengan
memperkenalkan pendekatan gotong royong, di mana orang ramai yang
berminat boleh menderma iaitu batu kuari, pasir dan sebagainya.
Kata Husam konsep gotong royong diperkenalkan bukan bererti kerajaan
negeri tidak berkemampuan, sebaliknya bagi menanam semangat kerjasama di
kalangan rakyat.
“Syarikat yang terbabit dengan aktiviti kuari di sepanjang lebuh raya akan juga memperolehi manfaat,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum ini orang ramai hanya terdedah menderma untuk
pembinaan masjid dan madrasah sahaja, manakala derma bagi pembinaan
jalan raya masih agak asing.
Beliau juga berharap syarikat yang terbabit dengan industri minyak di Kelantan juga dialu-alukan untuk menyumbang.
Katanya, projek lebuh raya berkenaan dijangka siap dalam tempoh lebih dua tahun selepas mengambil kira musim tengkujuh.
“Kerajaan negeri berhasrat menjemput bekas Perdana Menteri, Tun
Abdullah Ahmad Badawi hadir pada majlis pecah tanah kerana beliau pernah
menyenaraikan projek pembinaan lebuh raya itu dalam RMK-9,” ujarnya.
Husam juga memberitahu lebuh raya tersebut akan mempunyai laluan khas untuk binatang liar di sepanjang laluannya.
“Kerajaan negeri mengutamakan konsep mesra alam dan mengambil kira keperluan makhluk lain,” tambahnya.
Katanya juga apabila ia siap sepenuhnya, Kelantan menjadi negeri
pertama membina sendiri lebuh raya sendiri dengan kos yang lebih
menjimatkan./HarakahDaily
Artikel Yang Wajib Di Baca Oleh Umat Islam Malaysia!!!
DSAI Jawab Tuduhan Umno Isu Israel
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...