Fauzi (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Abdul Hadi sambil diperhatikan oleh Mohamad Sabu.
Fauzi (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Abdul Hadi sambil
diperhatikan oleh Mohamad Sabu.
 
TAIPING - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari malam ini dengan rasminya menyertai Pas.

Borang keahlian diserahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Perdana Bekas Pegawai Tertinggi PDRM Sertai Pas di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain.

Penyerahan borang keahlian disaksikan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR).
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa tujuan menyertai Pas bukan berniat untuk menjadi calon atau mempunyai kepentingan tertentu, tetapi sekadar mahu membantu usaha ke arah kerja-kerja Islam yang dibawa Pas.

Katanya, kehadiran beliau pada majlis itu juga sebagai pengenalan kepada penyokong dan masyarakat sebelum bergiat aktif selepas ini.

Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam Pas itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.

Fauzi yang berasal dari Pantai Besar, Batu Kurau, Perak menambah, beliau selepas ini akan membantu PR khususnya Pas melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan.

"Bukanlah bila saya masuk Pas bukan semuanya tak betul. Mana yang boleh tegur, kena tegurlah," katanya.

Pada majlis itu juga, Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Perak yang menjadi pengerusi majlis, Akmal Kamaluddin secara berseloroh mahu Fauzi mengetuai Bersih 4.0 dan kemudiannnya disambut dengan tepukan gemuruh hadirin./SinarHarian