Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Selangor akan melancarkan program ‘Selangorku Bersih’ bagi memastikan daftar pemilih di negeri itu adalah bersih dan teratur.
Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahimberkata, program tersebut adalah inisiatif Kerajaan Negeri membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, kerajaan PKR Selangor memandang serius mengenai pergerakan dan perpindahan pengundi ke negeri itu dan mahu SPR mengambil langkah tertentu memastikan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bersih.
 
“Dalam program ‘Selangorku Bersih’, kakitangan Kerajaan Negeri akan ditugaskan membantu memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih dan teratur.
 
“Kita juga mengambil langkah untuk menguatkan demokrasi di negeri ini antaranya geran RM5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku demi membolehkan semua pihak dan individu tanpa mengira parti buat bantahan berkenaan nama pengundi yang meragukan,” katanya selepas sesi taklimat bersama SPR di sini, semalam.
 
Abdul Khalid memberitahu, pada sesi taklimat tersebut, Kerajaan Negeri dan SPR membincangkan mengenai peratusan jumlah pengundi di Selangor dan juga mengenai pertukaran tempat mengundi beliau.
 
“Mengenai pertukaran tempat mengundi mengikut alamat di Bukit Rotan, Selangor tersebut proses permohonan sedang diteliti oleh SPR dan jika ia tidak sempat siap saya akan mengundi seperti biasa di Pantai Dalam,” katanya. Menjawab dakwaan pengundi Sabah dan Sarawak yang dibawa masuk untuk mengundi di Selangor, beliau dimaklumkan SPR bahawa pengundi yang boleh mengundi di kawasan tersebut berdasarkan pendaftaran mereka.
 
Abdul Khalid berkata, jumlah pengundi di Selangor masih lagi dalam perkiraan dan dimaklumkan pada Mac 2012 seramai 5,000 telah berdaftar sebagai pengundi di Selangor malah jumlah pengundi di beberapa kawasan juga bertambah.
 
 “Kita juga dimaklumkan bilangan pengundi yang berdaftar juga bertambah termasuk di Batang Kali bagi tempoh 2008 hingga 2011 bertambah 45 peratus kepada 39,928, Bukit Lanjan meningkat 34 peratus kepada 35,357, Paya Jaras meningkat 31 peratus kepada 39, 061.
 
 “Antara kawasan lain yang turut meningkat jumlah daftar pengundi ialah Sri Serdang meningkat 20 peratus kepada 65,369, Pandamaran meningkat 6 peratus kepada 26,909, Serdang meningkat 24 peratus kepada 119,724 dan Subang meningkat 31 peratus kepada 112, 966,” katanya.
 
Ditanya sama ada Kerajaan Negeri membincangkan soal pilihan raya berasingan dengan Pusat, Khalid berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan.
 
“Kami tidak membincangkan perkara tersebut... Ia bukan keputusan SPR (untuk putuskan buat berasi- ngan),” katanya./SinarHarian