KUALA LUMPUR - Kerjasama politik antara pembangkang akan gagal jika pemimpinnya bersikap kuku besi, kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.   
Beliau berkata, sikap sedemikian tidak menggambarkan proses demokrasi.

"Kalau (pemimpin) paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku, itu bukan demokrasi, tetapi itu kuku besi," kata Menteri Besar Selangor itu kepada pemberita pada satu majlis di Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dekat sini, hari ini.

Azmin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, parti itu mahu menamatkan rundingan dengan Pas kerana ingin memberi tumpuan kepada kerjasama dengan DAP.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula sebelum ini dilaporkan 'menasihatkan' mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan kerjasama politik dengan Pas supaya mengikut rentak mereka.

Ini kerana Pas sudah bertapak lama dalam arena politik termasuk jatuh bangun yang tidak pernah dirasai parti lain, kata Hadi.

Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, dalam reaksinya kepada perkembangan itu berkata terdapat keperluan untuk meneruskan proses rundingan di kalangan parti-parti pembangkang untuk terus kekal relevan.

Pas dilihat akan terumbang-ambing tanpa sokongan parti-parti pembangkang yang lain jika Bersatu menyertai Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, yang dijangkakan tidak lama lagi.