SHAH ALAM – Pakatan Harapan tidak pernah menghalang mana-mana parti pembangkang untuk menyertai Konvensyen Pakatan Harapan yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jemputan telah diedarkan kepada semua parti pembangkang yang mempunyai matlamat sama iaitu menjatuhkan kerajaan BN demi memenangi pilihan raya akan datang.

Jelasnya lagi, jemputan yang sama diberikan kepada parti pembangkang lain turut dihulur kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Bagaimanapun ujarnya, hanya Bersatu yang memberikan maklum balas untuk hadir menyertai konvensyen itu.

“Maklum balas daripada Pas kita belum terima lagi meskipun jemputan rasmi sudah dihantar. Matlamat konvensyen kali ini adalah untuk mencari jalan yang akan menggabungkan pembangkang dalam ikatan yang besar dan kuat.

“Ini adalah satu daripada kaedah kita untuk menewaskan BN, jadi kita undang semua parti pembangkang,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Difahamkan, Bersatu yang akan hadir pada konvensyen itu nanti akan menjadi medium saluran atau ‘orang tengah’ antara Pas dan Pakatan Harapan.

Ia akan berlaku sekiranya wakil Pas tidak menunjukkan muka di konvensyen tersebut.
“Pakatan Harapan tidak ada masalah (dalam soal jemputan). Ini jemputan (hasil) daripada pakatan dan bukan daripada PKR,” ulasnya lagi.

sh