Walaupun sedih dengan keadaan melanda Umno dan BN kini, satu usaha untuk memulihkan kepincangan yang berlaku pada negara perlu dilakukan dengan segera.

 “Parti ini (Umno) mesti dikalahkan dan kita perlu parti yang lebih kuat daripada Umno. Saya sayang Umno, sebab begitu lama saya berada dalam Umno dan apabila Datuk Seri Najib (Tun Razak) buat benda yang tidak baik, saya fikir pada mulanya mahu singkirkan sahaja perdana menteri dan kita selamatkan Umno.

 “Tetapi itu pada mulanya. Kini saya dapati Umno juga sudah tidak boleh diselamatkan. Kenapa? Sebab pemimpin mereka sudah tidak jadi pemimpin, mereka tidak boleh bersuara apa-apa pun, mereka ikut saja,” katanya ketika ceramah Bicara Rakyat di Ketereh, kelmarin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga turut hadir dalam majlis itu yang dihadiri lebih 3,000 masyarakat sekitar.

 Beliau berkata, walaupun sedih dan kecewa, tetapi ia tetap tidak boleh mengatasi perasaan tanggungjawab kepada negara apabila melihat mereka yang terlibat menyeleweng dan tidak lagi patuh pada asas perjuangan Umno dan BN.

 “Semua parti lawan mestilah bekerjasama supaya wujudnya pertandingan satu lawan satu. Ada orang tanya saya, macam mana ni Tun Mahathir mahu kerjasama dengan Lim Kit Siang, kerjasama dengan parti lawan, sedangkan saya dulu kecam Lim Kit Siang habis-habisan, dan dia pun kecam saya juga.
 “Tetapi dalam usaha untuk capai kejayaan, kita perlu sentiasa bijak. Sebagai contohnya, apa yang dilakukan Tun Razak untuk menyelamatkan negara. Beliau menjemput parti-parti lawan untuk menyertai parti gabungan yang sekarang ini jadi lebih besar. Semua ini parti lawan, tetapi kebijaksanaan Tun Razak ialah untuk mengukuhkan kerajaan.

“Saya tahu kenapa BN sentiasa menang. Sebab kita tidak lawan sesama kita. Sebaliknya, parti lawan berlawan sesama mereka. Berpecah, dan tak pernah dapat kerusi yang cukup untuk dirikan kerajaan,” katanya.