SHAH ALAM - Harapan Pas untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang dilihat agak sukar memandangkan kemenangan parti Islam itu sebelum ini dibantu oleh sokongan kaum cina serta PKR.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, Pas kini bergerak bersendirian dan harapan untuk parti itu mendapat kembali undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum-13 (PRU13) lalu adalah sangat sukar.

“Pas dijangka akan mengalami kesukaran untuk menang sekiranya mereka bertanding kerana tidak lagi mendapat sokongan daripada rakan sekutu mereka dan sukar untuk parti itu mencapai kemenangan jika bergerak sendirian,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas akan letak calon jika ada PRN P Pinang]

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa parti itu akan meletakkan calon di setiap kerusi Dun di Pulau Pinang sekiranya pilihan raya mengejut diadakan di negeri itu.

Dalam pada itu, Marthada memaklumkan bahawa sekiranya kerajaan Pulau Pinang membuat keputusan untuk mengadakan PRN, ia adalah satu keputusan yang tidak bijak kerana PRU14 hanya akan berlangsung dalam tempoh kurang dari dua tahun lagi.

Di samping itu, Marthada memaklumkan bahawa masih banyak agenda-agenda kerajaan pimpinan DAP yang masih tidak terlaksana seperti mana terkandung di dalam manifesto mereka dahulu.
“Antaranya adalah pembasmian kemiskinan, isu jenayah serta penyediaan perumahan murah kepada masyarakat miskin di luar dan dalam bandar.

“Sistem jalan raya di Pulau Pinang yang mengalami kesesakan teruk juga belum diselesaikan di samping isu banjir kilat dan pembangunan tidak terkawal sehingga menyebabkan tanah runtuh juga perlu diatasi dgn segera.

“Kesemua ini merupakan tanggungjawab kerajaan negeri yang perlu diutamakan, bukan dengan mengadakan PRN bagi menunjukkan sokongan saja,” katanya.

Buat masa ini, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP masih menunggu persetujuan daripada rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan sebelum memutuskan untuk melaksanakan pilihan raya mengejut di negeri ini.

sh