ALOR SETAR - Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dijadualkan berlangsung minggu depan harus dilihat dari sudut positif oleh semua pihak berkaitan.
Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pertemuan dua tokoh tertinggi parti Melayu itu seharusnya perlu diadakan untuk membincangkan perkara berbangkit dan tidak wajar disensasikan.
“Bagi saya, ia pertemuan yang baik untuk eratkan hubungan silaturahim antara pemimpin parti. Mereka juga selalu bertemu (secara tidak rasmi) namun dalam suasana politik hari ini, saya anggap ia suatu yang positif untuk dilakukan,” katanya, pada sidang media selepas melancarkan Kempen Jom Kembali Ke Sekolah 2016 Peringkat Negeri Kedah, semalam.
Ahmad Bashah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, kemungkinan kedua-dua tokoh itu mempunyai agenda penting yang perlu dibincangkan.
Kedua-dua pemimpin itu dijadual bertemu dalam satu majlis anjuran Alumni Al-Azhar di mana Najib dijadualkan merasmikan majlis manakala Abdul Hadi akan menyampaikan ucap utama.
Kehadiran bersama ini dilihat sebagai perkembangan positif selepas Presiden Umno itu menghulurkan ‘tali silaturahim’ kepada Pas ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2015, untuk bersama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam selepas Pas dipinggirkan rakan pembangkangnya.
Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti Islam itu tidak akan bersekongkol memikul biawak hidup walaupun dipelawa Umno menjalin kerjasama, Ahmad Bashah menyifatkannya sebagai tanggapan peribadi bukan kenyataan parti.
“Itu tanggapan beliau, apa sahaja yang disebut, pertemuan itu perlu ada untuk perjelas perkara berbangkit. Kita hendaklah fikirkan yang positif untuk negara dan rakyat khususnya orang Melayu,” katanya, yang turut menolak pendapat, Pas tidak lagi boleh dilihat sebagai musuh politik Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...