Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, wakil rakyat perlu melihat dari persektif rakyat.
"Sebagai wakil rakyat saya yakin rakyat juga menolak Bajet 2016. Tapi malangnya apabila ada wakil rakyat yang menilai sesuatu dari kepentingan parti, maka pendirian dan sikap mereka akan jadi kabur.
"Sebagai wakil rakyat kita mesti menentang sesuatu yang tidak adil dan bajet ini jelas tidak meletakkan keutamaan terhadap persoalan menyelesaikan ekonomi. Tidak boleh bersikap berkecuali," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata,sama ada Pas menyokong atau tidak bajet tersebut, mereka tidak sepatutnya memilih untuk berkecuali kerana isu ini (Bajet 2016) melibatkan integriti kerajaan.
Katanya, Pembentangan Bajet 2016 juga tidak menyatakan dengan jelas bagi menjawab isu dan persoalan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion, sebaliknya kerajaan mengurangkan subsidi tetapi bajet ditingkatkan untuk Jabatan Perdana Menteri.
"Saya tidak rasa rakyat menerima bajet ini dengan hati terbuka. Kerana itu kita (wakil rakyat) harus bersuara di Parlimen. Kalau kita undi untuk tidak percaya, maka pembangkang harus bersama-sama dalam perkara ini.
"Tetapi apabila ambil sikap berkecuali ini menunjukkan pihak tersebut telah menghantar isyarat yang salah kepada negara. Sama ada sokong, tolak atau berkecuali itu (pendirian) masing-masing. Jawablah kepada rakyat kerana rakyat yang memilih kita," katanya.
Katanya, Amanah tetap meneruskan undi tidak percaya terhadap Bajet 2016.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat.
"Kita sudah serahkan usul. Sekarang kita tunggu dan lihat. Yang pasti kami akan tetap kekal menolak Bajet 2016 yang dibentang," katanya.
Pas bagaimanapun tetap mengambil sikap berkecuali berkenaan usul undi tidak percaya Bajet 2016.
Menurut Ketua Pemuda Pas Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, Pas tidak memihak kepada mana-mana pihak sama ada pembangkang atau kerajaan.
"Jika Bajet 2016 membawa kebaikan kepada rakyat maka kita akan sokong.
"Namun, perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada rakyat kita tolak. Seperti pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Ada banyak jenis cukai lain yang boleh dilaksanakan di negara ini tanpa perlunya GST," katanya.
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...