PORT DICKSON - Seramai 34 ketua Cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Presiden Umno.
Kenyataan dibuat di hadapan media oleh ketua cawangan Umno Taman PD Utama, Mohd Isa Mohd Yasin selepas kesemua 34 orang dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah menghadiri sesi suai kenal serta mengadakan mesyuarat yang berlangsung kira-kira satu jam bermula kira-kira 3 petang di sini, hari ini.
Menurut Mohd Isa, mereka sebulat suara mendesak Presiden Umno meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pemimpin itu dalam memimpin parti nombor satu Melayu itu.
Menurutnya, semasa peralihan jawatan antara Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib, mereka memberikan sokongan penuh, di samping meletakkan harapan yang begitu tinggi.
“Namun, apa yang berlaku hari ini tidak seperti mana yang diharapkan dan sudah ramai yang sangsi dengan Umno.
“Melalui mesyuarat ini juga, kita mahu parti tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap timbalan presiden, naib presiden, ketua cawangan atau mana-mana ahli Umno yang tampil membuat kritikan kepada parti,” katanya pada sidang media berkenaan, hari ini.
Mohd Isa juga mendakwa mereka sudah mendapat sokongan hampir 5,000 ketua cawangan lain dari seluruh negara dan bercadang mengadakan himpunan besar-besaran akhir bulan depan berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, lokasi penganjuran masih belum ditetapkan.
“Kita yakin akan mendapat sokongan lebih satu perempat daripada cawangan Umno di seluruh negara.
“Tindakan kami ini tidak didorong oleh mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran sendiri untuk mengembalikan hak bersuara dalam Umno kepada yang benar-benar berhak iaitu ketua Umno cawangan sebagai akar umbi supaya parti dapat diselamatkan,” katanya.
Pertengahan bulan lalu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar Telok Kemang mengadakan sidang media mendesak Najib meletak jawatan.
Ia disusuli dengan tindakan 10 cawangan Umno di bahagian Sepang yang turut membuat kenyataan sama, Rabu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...