SHAH ALAM – PKR sedia menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya usul itu dibawa ke
Parlimen.
Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul berkata, menurunkan Perdana
Menteri yang gagal membela nasib rakyat adalah tugas pembangkang.
“Ya, itu memang tugas kita untuk jatuhkan pemimpin BN yang bebankan rakyat. Ya, saya akan sokong,” katanya.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
mendakwa, terdapat kumpulan di dalam dan luar Umno yang cuba
menjatuhkan Perdana Menteri melalui undi tidak percaya.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, Najib berdepan dengan defisit
kepercayaan yang teruk dan beliau patut menyedari hal itu.
“Sudah jelas sekali beliau berdepan dengan masalah kepercayaan rakyat
hari ini. Saya juga mengajak pemimpin BN yang lain agar tidak ragu
melakukan hal (undi tidak percaya) yang sama,” katanya.
Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin,
kemerosotan ekonomi dan mata wang negara antara contoh kegagalan Perdana
Menteri hari ini.
“Kalau ada saya akan sokong, kepimpinan hari ini perlu ditukar. Saya
harap pemimpin BN yang lain juga berani nyatakan pendirian kerana tak
mungkin dengan 88 ahli Parlimen Pembangkang kita boleh turunkan Najib,”
katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,
Pas juga sedia menyokong usul itu serta berharap pihak berkuasa tidak
menggunakan Seksyen 124B kepada pemimpin pembangkang sahaja dan perlu
segera menyiasat 20 ahli Parlimen BN yang didakwa terlibat untuk
menggulingkan kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...