GOPENG - Kemelut berhubung dana RM2.6 bilion perlu diselesaikan segera
bagi menepis tanggapan dan persepsi negatif rakyat terhadap Umno pada
ketika ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata,
perkara itu jelas kerana isu berkaitan dana berkenaan telah menjadi
topik hangat selain dibincangkan secara terbuka oleh segenap lapisan
masyarakat.
"Saya sangat tidak selesa dan rasa tak sedap hati dengan isu RM2.6 bilion ini.
"Benda ini sudah terbuka, saya tak cakap pun orang sudah tahu dan
apabila disoal, saya sendiri tak tahu macam mana hendak menjawab,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kampar, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kampar, Datuk Mohammed Radzi Manan,
Ketua Wanita Umno Bahagian Kampar, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi
dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tambun, Aminuddin Md Hanafiah.
Menurutnya, keadaan menjadi bertambah buruk apabila pihak berwajib
dilihat berdolak-dalik dalam memberikan jawapan sebenar berhubung status
dana berkenaan.
"Bila awalnya kita (Umno) menidakkan, kemudiannya apabila nak keluarkan
laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita
mengiyakan pula," katanya.
Beliau berkata, perjuangan Umno yang bertunjangkan agama,bangsa dan
negara juga bakal berdepan kesukaran jika kemelut itu cuba digelapkan.
"Boleh ke kita nak yakinkan rakyat bahawa Umno merupakan parti yang
menegakkan Islam, memartabatkan Melayu dan memajukan tanah air tetapi
pada ketika masa yang sama kewibawaan kita sendiri dipertikaikan,"
katanya.
Selain itu, katanya, pimpinan parti seharusnya mendekatkan diri dan
menyantuni ahli di peringkat akar umbi bagi menjamin kelangsungan Umno
selaku kerajaan yang memerintah.
"Kalau nak menang pilihan raya, jagalah rakyat di peringkat akar umbi
dan itulah cara atau strategi Umno memimpin negara hingga ke hari ini,"
katanya.
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...