Parti Islam baru, yang yang digerakkan bekas pemimpin kanan PAS, akan menyertai gabungan baru bersama PKR dan DAP demi 'meluaskan' sifat inklusif dalam Islam.
Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB) Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu demi menunjukkan Islam sebagai agama rahmah dan mampu bekerjasama, bukan mengasingkan diri dan memandang rendah pihak lain.
"Muafakat ini (gabungan pembangkang baru) sebagai wasilah untuk menunjukkan Islam yang sejagat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
"Kita tidak mahu menimbulkan satu persepsi bahawa Islam ini adalah untuk kelompok Muslim sahaja (apabila Pakatan Rakyat terungkai).
"Ia memberi satu tanggapan buruk kepada Islam bukannya sikap inklusifnya," katanya lagi.
Media melaporkan parti Islam itu bakal dinamakan sebagai parti Amanah Rakyat tetapi pemimpin GHB enggan mengesahkannya buat masa ini.
Anggota bukan Islam
Tokoh DAP Lim Kit Siang hari ini berkata satu gabungan baru pembangkang dapat dibentuk sempena Hari Malaysia 16 September ini, jika parti Islam baru dibentuk menjelang 31 Ogos.
Pembentukan gabungan baru itu sedikit sebanyak dilihat akan mewujudkan landskap baru politik tanah air apabila PAS, sebuah lagi pembangkang berpengaruh, akan bergerak sendirian.
Sementara itu, Dzulkefly berkata terdapat sambutan luar jangkaan masyarakat terhadap penubuhan parti baru khususnya daripada komuniti Cina dan India di samping kaum Melayu-Islam, di bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
Katanya, mereka merasakan PAS "tidak memenuhi harapan mereka" termasuk menjadi ahli penuh untuk memilih kepimpinan parti.
Parti baru itu menerima keanggotaan penuh bukan Islam, walaupun menjadikan Islam sebagai ideologi teras.
Berhubung status pendaftaran pula, Dzulkefly berkata pihaknya telah menyediakan semua dokumen untuk melengkapkan proses pendaftaran sebagai parti politik di Jabatan Pertubuhan (RoS).
Dalam masa yang sama mereka akan meneruskan siri jelajah di Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Sarawak sebelum menjelang pelancaran penubuhan rasmi pada 16 September depan.
mk
Syabas....syabas..... syabas. Islam itu syumul dan untuk semua. Indahnya Islam. Malangnya UlaRmak PAS belum faham apa sebenar erti Islam.
BalasPadam