KOTA BHARU - Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) menegaskan mereka
tidak bergantung kepada mana-mana pihak untuk menggerakkan perjuangan
parti baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Pengerusi Harapan Baru Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah
berkata, pihaknya tidak pernah menggunakan kedudukan dalam parti untuk
memperjuangkan gerakan tersebut sebaliknya dilakukan dengan kudrat yang
ada.
“Jangan ada tuduhan dari mana-mana pihak bahawa ahli Harapan Baru
menggunakan kedudukan dalam Pas untuk bergerak, kita tidak pernah
menyalahgunakan kuasa.
“Malah, kita bermula dengan kosong, tidak menggunakan sedikit pun
kewangan atau harta benda yang ada dalam parti sebelum ini,” katanya
ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerakan Harapan Baru Kelantan di
Dewan Perniagaan Cina di sini, kelmarin.
Wan Abdul Rahim berkata, beberapa panduan asas ditekankan dalam
memperjuangkan Harapan Baru termasuk tidak akan membuat serangan kepada
Pas selain sentiasa menjaga tatatertib serta tutur kata bagi mengelak
sebarang insiden.
“Sebagai manusia yang bertamadun, kita tidak perlu melakukan serangan,
sebaliknya gunakan pendekatan lebih terbuka dan sederhana dengan cara
memberi penerangan sebagaimana nasihat yang sering diberikan bekas
Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Abdul Rahim berkata, ahli Harapan Baru perlu
sentiasa menjaga adab biarpun pemimpin parti lama melabel atau membuat
serangan yang mungkin tidak boleh diterima oleh mereka.
Menurutnya, Harapan Baru akan menjadi sebuah parti yang lebih inkslusif
dan boleh diterima baik dalam masyarakat sekali gus menggantikan Pas
dalam Pakatan 2.0 yang akan tetap diwujudkan sebagai alternatif kepada
rakyat dalam PRU 14 nanti.
“Harapan Baru tetap meletakkan Islam sebagai asas perjuangan, malah
memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam
memperjuangkan gerakan ini,” katanya.
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...