Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa hari ini, pelbagai dakwaan yang sering dilemparkan kepada golongan progresif parti itu sebenarnya bagi membolehkan mereka yang berhajat mendapat kedudukan yang diidamkan.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, golongan yang berjaya memenangi pemilihan PAS kali ini, pada hakikatnya mahu berbaik semula dengan DAP.
"Sekarang saya dapat melihat; menggunakan, melabel, menuduh orang itu alat itu, suruhan itu ini, Anwarinas, agen DAP, hanyalah alat untuk mencapai kedudukan.
"(Apabila) sudah mendapat kedudukan, (mereka) cuba cari jalan berbaik semula dengan DAP. Orang yang bersama membina Pakatan Rakyat (PR) dari awal dinyahkan," katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.
Mat Sabu berkata, mereka yang cuba merampas kepimpinan parti kali ini menonjolkan idea baru dan cuba mendedahkan kelemahan serta prestasi penyandang jawatan pada sesi yang lalu.
Beliau mendakwa, golongan yang tidak mempertahankan ulama akan dikumpulkan dan dilabel "jebon" serta anti ulama oleh pihak tersebut.
"Lebih jauh, mereka juga dituduh lebih wala' dan taat kepada pemimpin dari parti lain, sama ada PKR atau DAP.
"Tuduhan itu dicurahkan melalui Majlis Multaqa, Nekad dan tuduhan tidak membela presiden ketika ianya diserang DAP," katanya yang pada pemilihan kali ini gagal mempertahankan jawatannya selepas dikalahkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Mat Sabu berkata, beliau sering menjadi sasaran utama kerana dituduh tidak mempertahankan presiden dalam krisis menteri besar Selangor tahun lepas dan ketika berdepan DAP.
Katanya, perbuatan kecam mengecam antara pimpinan PAS dan DAP hampir sudah tidak terkawal lagi, apatah lagi apabila pemimpin parti Islam itu kini berhasrat memutuskan hubungan dengan rakan sekutu dalam PR itu dan bersedia untuk 'bersendirian'.
"Kemuncaknya, bila mursyidul am dalam ucapan perasmian muktamar Dewan Ulama pada 3 Jun lalu menegaskan, syarat tahalluf dengan DAP sudah rosak dan tamat.
"Usul muktamar Dewan Ulama diluluskan pada hari yang sama, mendapat sokongan 100% dari perwakilan, supaya PAS putuskan hubungan dengan DAP," katanya.
Beliau berkata, kini semua mereka yang dilabelkan tunduk kepada DAP dan Anwarinas, tewas belaka.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan penjawat kerajaan negeri di Pulau Pinang yang paling terkesan apabila muktamar tahunan pada hari terakhir semalam menerima tanpa bahas usul memutuskan hubungan dengan DAP itu.
"Bagaimana pula kedudukan PAS dan anggotanya di Selangor, iaitu (dalam) kerajaan negeri, exco dan jawatan-jawatan berkaitan yang dianggarkan lebih dari 5,000 yang terlibat?" soalnya pula.
Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, yang juga salah seorang naib presiden baru berkata, pihaknya akan meneruskan kerja seperti biasa di peringkat negeri dan tidak akan terjejas dengan usul Dewan Ulama itu.
Mat Sabu pula semalam mengumum melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai tanda beliau mematuhi keputusan ulama kerana sering dituduh sebaliknya.
tranungkite
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...