Tempoh hari saya telah mengulas kewajipan ummat Islam menyokong dan mengundi DS Dr. Wan Azizah di Permatang Pauh. Hujjahnya berasaskan dalil wajib menentang kezaliman dan membantu pihak yang dizalimi.
Dalam bahagian kedua ini, saya ingin menegaskan kewajipan yang khusus bagi PAS dan ahlinya untuk menyokong DS Dr. Wan Azizah di Permatang Pauh. Kewajipan khusus ini adalah disebabkan wujudnya perjanjian antara PAS dan PKR yang telah menghasilkan pembentukan PR. Tiada mana-mana pemimpin PAS yang waras akan menafikan kewujudan perjanjian dan persepakatan ini. Ianya berteraskan usaha untuk menjatuhkan UMNO/BN secara bersama dan melaksanakan beberapa prinsip pemerintahan yng dipersetujui bersama sekiranya berkuasa. Kesemua prinsip yang dipersetujui bersama ini adalah dituntut Islam serta akan membuka ruang yang luas ke arah rakyat memahami politik Islam dan menyokongnya.
Apabila perjanjian dan persefahaman ini diakui wujud dan selagimana ianya tidak diisytiharkan batal dan dimansuhkan, maka kewajipan PAS dan ahlinya untuk membantu PKR dan calonnya adalah jelas dan nyata. Kalau prinsip berpegang kepada janji pun tidak mampu difahami, maka janganlah cuba berbicara mengenai ‘Perjuangan Islam’!.
KEWAJIPAN MENUNAIKAN JANJI
Kewajipan menunaikan janji adalah satu sifat yang asasi pada mana-mana gerakan Islam. Pesanan Nabi (SAW):
“Orang beriman adalah (dipegang) atas janji-janji mereka” dan firman Allah “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah janji-janji mu...”adalah perkara yang diketahui umum. Sifat Nabi (SAW) yang Siddiq dan Amanah juga begitu masyhur sehingga tidak boleh dinafikan dan terpaksa diperakui oleh barisan musuh terketat Baginda (SAW). Dan kesungguhan Baginda (SAW) berpegang kepada janji jelas diperlihatkan dalam perjanjian Hudaibiyah.
Orang yang beranggapan bahawa Nabi sanggup mungkir janji ‘demi kepentingan Islam’ sebenarnya memfitnah Nabi!
PENGAJARAN DARI PERJANJIAN HUDAIBIYAH
Dalam perjanjian Hudaibiyah, syarat pejanjian menuntut Baginda menyerahkan kembali penduduk dari Mekah yang lari ke Madinah ke tangan penduduk Mekah, walaupun diketahui akan diseksa atas sebab keimanan mereka, Baginda tetap melakukannya. Ianya dilakukan kerana diakui bahawa ianya syarat perjanjian yang telah dimeteraikan serta adalah salah dan berdosa besar sekiranya ianya sengaja dilanggari dengan begitu sahaja. Dan apabila ianya ditepati, sepertimana dituntut Islam, maka adalah diyakini Allah akan mencari jalan melepaskan orang Islam dari kezaliman syarat perjanjian tersebut dan memenangkan Islam melaluinya.
Inilah sebenarnya yang dinamakan “beriman kepada pertolongan Allah”. Bukan langgar syarat perjanjian, kononnya atas nama Islam dan mendakwa percaya pada pertolongan Allah! Mereka yang langgar perjanjian, kononnya atas nama Islam, bukan sekadar melakukan dosa besar kerana merosakkan imej Islam, tetapi menzahirkan keimanan terhadap akal sendiri dan kurangnya keyakinan mereka terhadap pertolongan Allah. Tidakkah mereka yakin bahawa sekiranya mereka ikut perintah Allah, iaitu memenuhi syarat perjanjian, maka Allah akan membantu mereka?
Maka inilah yang telah berlaku melalui perjanjian Hudaibiyah! Bukan sekadar Abu Jandal dan Abu Busyair, iaitu dua pemuda yang telah Rasulullah (SAW) serahkan kembali kepada kaum Quriay Mekah berjaya membebaskan diri dari tahanan Quriasy, tetapi mereka telah mampu menimbulkan kekacauan dan kesulitan terhadap kaum Quraisy dengan menyerang caravan (kafilah) perdagangan Quraisy! Maka mereka membebaslan diri dengan izin Allah dan melalui mereka pula Allah membantu ummat Islam ke atas musuh mereka!
Sambil itu, semasa tempoh perdamaian hasil perjanjian ini, beberapa pimpinan Quraisy telah memeluk agama Islam, termasuk Khalid Al-Walid dan Amru Al-Aas. Perjanjian itu telah menyebabkan mereka berpeluang untuk memahami dan menilai kebenaran Islam.
PEMBUKAAN MEKAH
Lebih dari itu, hasil ummat Islam berpegang kepada syarat perjanjian Hudaibiyah, maka akhirnya perjanjian itu telah memberikan kepada ummat Islam sebab dan hujjah untuk mengisytiharkan perang ke atas Mekah dan membebaskannya dari penguasaan Quraisy! Ini berlaku apabila ahli kabilah yang bersekutu dengan ummat Islam, iaitu Bani Huzaah, telah diserang dan dibunuh oleh anggota Bani Bakir, iaitu sekutu kaum Quraisy. Apabila pimpinan Quraisy membenarkannya dilakukan di depan mata mereka di hadapan Kaabah. Sedangkan perjanjian Hudaibiyah menyatakan bahawa kabilah yang bersekutu dengan ummat Islam turut wajib dilindungi oleh kaum Quraisy dan sekutu mereka dan begitu juga sebaliknya!
Maka dengan itu, Rasulullah (SAW) telah mengisytiharkan bahawa pihak Quraisy telah melanggar perjanjian Hudaibiyah dan ianya dianggap batal! Pada masa yang sama, Nabi mengarahkan operasi pembukaan Al-Mekatul Mukarramah dimulakan! Dan walaupun didatangi oleh Abu Sufyan, yang meminta maaf dan berusaha memujuk Nabi supaya diteruskan perjanjian itu dan dibatalkan rancangan untuk menyerang Mekah, Baginda menolaknya.
Lihat bagaimana ketaatan kepada perjanjian yang walaupun dilihat merugikan telah akhirnya dijadikan kemenangan! Maka patuh dan taati perjanjian walaupun akal mungkin mengatakan ia kononnya ‘merugikan’ dan berimanlah kepada Allah dan pertolongan dariNya serta janjiNya untuk memenangkan Islam.
Dan perjanjian Hudaibiyah itu, tidak lain dan tidak bukan, adalah satu bentuk tahaluf siyaasi sepertimana yang sedang diadakan sekarang di dalam PR. Ianya perjanjian perdamaian antara Quraisy dan ummat Islam, atas syarat tertentu sambil membuka pintu kepada kabilah Arab lain untuk berlindung samada di bawah Ummat Islam ataupun Quraisy.
Maka bagi yang mengatakan tahaluf Siyaasi itu haram dan merugikan, sila kembali kepada Nas dan Dalil serta bukti dari Seerah Ar-Rasul.
AMARAN KERAS DARI ALLAH
Bagi yang masih ingin berdegil, menganggap ‘atas nama Islam’ segala perjanjian dan kata sepakat dengan pihak lain boleh dilanggar sewenang-wenangnya, saya sampaikan untuk mereka perintah Allah serta amaran dan janjiNya seperti yang terkandung dalam Ayat 94 Surah An-Nahl yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak).”(16:94)Dalam Ayat ini, Allah menegur amalan (sering dilakukan pada zaman jahiliyyah) di mana sesuatu perjanjian dengan kabilah yang kecil dan tidak berpengaruh dilanggari dan dibatalkan demi mengadakan perjanjian baru dengan kabilah yang lebih besar dan berpengaruh. Walaupun itu mungkin dilihat sebagai ‘kebijaksanaan politik’, namun Allah mencegahnya dengan dijanjikan kehinaan dan azab yang pedih kepada ummat Islam sekira melakukannya. Ianya dilihat sebagai tindakan yang akan menghalang manusia lain daripada jalan Allah kerana mereka melihat sikap tidak amanah yang dizahirkan oleh ummat Islam.
Maka, dalam situasi semasa bersama PKR di Permatang Pauh, adalah dikhuatiri sifat tidak amanah ini akan menyebabkan masyarakat meluat dan hilang kepercayaan terhadap Islam dan Parti Islam.
KESIMPULAN
Oleh yang demikian, bagi ummat Islam, menyokong DS Wan Azizah adalah wajib atas sebab menentang kezaliman dan membela pihak yang dizalimi. Gagal melakukannya boleh menyebabkan kita tidak diakui ummat oleh Rasulullah (SAW).
Bagi ahli dan penyokong PAS, yang juga merupakan ummat Islam, ianya menjadi dua kali ganda wajib atas sebab terdapatnya perjanjian. Mentaati dan memenuhi tuntutan perjanjian ini adalah wajib! Kegagalan melakukannya boleh menjadikan imej Islam tercemar dan kita menjadi sebab mengapa masyarakat meluat dan benci pada Islam kerana dilihat penipu dan tidak amanah.
Pada masa yang sama, ketaatan kepada perjanjian dan memenuhi syaratnya boleh mendatangkan pertolongan dari Allah dan kemenangan yang Allah janjikan. Ini adalah kerana kepatuhan pada arahanNya untuk memenuhi syarat perjanjian tersebut dan mematuhi perintah Allah ini melayakkan untuk mendapat pertolongan Allah.
Maka ketahuilah, yang menyeru untuk mengikari perjanjian PAS bersama PR, walau pun ianya dibuat atas nama ‘Hudud’ dan ‘kasih pada Ayahanda’, mereka hanya menyeru kepada kehinaan di dunia dan azab yang pedih di akhirat, naudzubillah. Itulah apa yang dijanjikan Allah bagi mereka yang mengkhianati perjanjian yang jelas dan nyata! Walau pun mungkin kata-kata mereka ini disulami ayat Quran dan seruan keimanan, sikap mereka ini perlu ditolak! Kerana inilah sebenarnya sikap ‘PAS Ekstrim’! Mereka menghalalkan tindakan membelakangkan perintah Allah. Dan bertambah teruk, ia kononnya dilakukan di atas nama Islam!
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
sokong Khalid Samad.
BalasPadamterpaksa harapkan org professional juga utk menghurai sirah.
mana pegi u-start u-start PAS?