Permatang Pauh dan Kemunculan ‘PAS Ekstrim’
Saya menyambut baik teguran Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini melalui FBnya terhadap tulisan saya; tanpa disebut nama. Beliau mempersoalkan sebab mengapa saya “membuat dakwaan rambang terhadap masa depan PAS berdasarkan apa yang berlaku di PRK Permatang Pauh” yang bersifat negatif pada pandangan beliau. Pada masa yang sama, beliau menegur sikap yang melukakan imej parti oleh mereka yang “melanggar keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat secara terbuka”.Sebagai salah seorang Naib Presiden, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sememangnya wajar menegur saya dan saya menerimanya dengan baik. Sememangnya hujjah Dato' Tuan berhubung contoh baik di Rompin adalah tepat. Begitu juga hujjah berhubung kesediaan PAS mengagihkan kekuatannya di antara Rompin dan Permatang Pauh sebagai bukti keutuhan PR adalah juga benar. Namun masalahnya adalah, di Rompin, PAS yang bertanding dan PKR serta DAP memberikan sokongan yang padu, tetapi ianya tidak sebegitu di Permatang Pauh. Begitu juga kesediaan PAS Pusat mengagihkan kekuatan PAS sebahagian ke Rompin, membantu calon PAS dan sebahagian ke Permatang Pauh, membantu calon PKR adalah tidak selari dengan sikap PAS Permatang Pauh dan khususnya DPP Pulau Pinang.
Kewujudan sikap berbeza seperti yang dizahirkan DPP Pulau Pinang, yang saya gelar sebagai sikap ‘PAS Ekstrim’, adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak, termasuk Dato' Tuan di atas sebarang alasan sekalipun. Saya hanya ingin memberikan amaran bahawa sekiranya perwakilan PAS tidak berhati-hati dalam pemilihan yang akan datang, maka sikap ‘PAS Ekstrim’ akan menguasai kepimpinan PAS. Maka selepas itu contoh baik seperti yang ditunjukkan di Rompin serta oleh PAS Pusat dewasa ini yang mengagihkan kekuatan untuk membantu rakan PRnya di Permatang Pauh mungkin tidak akan lagi kelihatan.
Sikap ‘PAS Ekstrim’ adalah sikap yang ditunjukkan DPP Pulau Pinang dan PAS Permatang Pauh. Mereka bagaikan ‘tukang fatwa dan tukang hukum syadid atau ekstrim’. Sekiranya sikap seperti ini diberikan mandat di peringkat PAS Pusat, maka mungkin akan difatwakan bahawa “PAS haram bersama PR kerana PR tolak hudud” sepertimana difatwakan “haram mengundi orang yang tolak hudud”. Sedangkan fatwa dan hukuman mereka bahawa seseorang itu “menolak hudud” dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa ingin mendengar hujjah dan penjelasan dan tanpa mengakui adanya khilaf. Khilaf bukan berhubung hukum wajibnya hudud, tetapi berhubung kaedah dan keutamaan atau awlawiyyat berhubung perlaksanaannya.
Melalui fatwa ekstrim sebegini, maka PAS tidak boleh bertahaluf siyaasi dengan yang bukan Islam dan berbeza pandangan dengan PAS. Segala tindakan dan amalan PAS selama ini sejak 2008, malahan dari lebih awal lagi, akan dianggap salah dan tidak syarii!
Tetapi yang lebih aneh, ‘PAS Ekstrim’ sentiasa bersedia memperakui keikhlasan pihak UMNO/BN sehingga dikatakan tidak wajar keikhlasan UMNO dipersoalkan! Pada masa sama mereka sentiasa bersedia mempersoalkan keikhlasan PKR dan ‘alasan’ yang diberi PKR. Hakikatnya apa jua alasan yang diberi harus diterima sebagai bukti tidak menolak hudud walaupun tidak bersetuju dengan alasan tersebut. Penolakan terhadap ‘hudud’ hanya wajar diterima sebagai penolakan yang mutlak sekiranya tidak boleh dita’wilkan sebaliknya.
Bermula dengan ‘fatwa’ tersebut, maka PAS akan dibawa keluar dari PR dan akan dimulakan gerak langkah menjauhkan PAS dari PR sedikit demi sedikit. Maka sedikit demi sedikit akan mereka dekatkan PAS dengan UMNO. Dan mendekatkan PAS kepada UMNO adalah ‘syarii’ menurut mereka lagi, kerana UMNO kononnya “sokong hudud”. Sedangkan semua maklum, sejauh mana “kebenaran” kata-kata UMNO itu. Oleh yang demikian adalah wajar dipersoalkan kerana adalah sungguh tidak layak dipatuk dari lubang yang sama buat kali keduanya!
Jika ianya benar, maka mengapa persoalan ‘hudud’ tidak dibenarkan untuk dibahas di DUN Terengganu tempoh hari? Mengapa tidak usul ini dibawa UMNO di Kedah, Perlis, Johor dan negeri-negeri lain di bawah BN? Memang benar perlu menghukum berdasarkan yang zahir semata, tetapi sepatutnya kesemua yang zahir dari parti yang sama. Bukannya sekadar kata-kata pilihan untuk menyokong kecenderungan dan kesukaan individu atau kelompok tertentu.
Oleh itu, saya ingin ulangi nasihat ikhlas saya. Waspada terhadap kewujudan sikap ‘PAS Ekstrim’ dengan pendekatan memaksa dan mengugutnya dan ketidak-mampuannya untuk berkawan dengan yang berbeza dengan mereka, walaupun sejemaah, apatah lagi dari jemaah lain. Sikap ini yang menyebabkan PAS berpecah dan akan kecundang kerana pendekatannya ‘ekstrim’ tanpa hikmah mahupun kebijaksanaan. Sikap ini bakal menjadikan PAS terpencil, dibenci dan dipinggirkan oleh rakyat jelata.
Saya akhiri dengan mengucapkan tahniah kepada Dato Tuan yang telah secara terbuka menegur mereka di Permatang Pauh yang menzahirkan sikap ekstrim ini. Mereka menjatuh dan melukakan imej PAS. Dan benar, ianya asap dan apinya perlu dipadamkan. Apinya bagi saya adalah sikap ekstrim, sikap tidak patuh pada arahan, tidak jujur dalam persepakatan dan tidak endahkan kerosakan yang terhasil terhadap imej Islam melalui tindakan mereka.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
TAHNIAH YG KHALID.
BalasPadamMEREKA MENGHUKUM TANPA BERBINCANG DGN PKR.
PRESIDEN MEMBIARKAN MALAH BERSETUJU DGN PUAK EKSTRIM ...(INILAH MASALAH BESAR PAS)
PRESIDEN BERTINDAK DAN BERKATA2 MENGIKUT HATINYA.
KASIHAN AKU LIHAT PAS BERPRESIDEN BEGINI.....
UTK HJ HADI...LEPASKANLAH AJA JAWATAN TU...
KEMPIMPINAN MU MERUDUM....
JGN KERANA MENGANGGAP DIRI TU ULAMAK...KONON MASIH DPT SOKONGAN BESAR DPD PERWAKILAN ..MAKA....REALITY KELEMAHN DIRI DISELINDUNGI DAN MASIH MAHU MEMPERTAHANKAN.
PERWAKILAN BUKAN MEWAKILI AKAR UMBI PENGUNDI DIBAWAH...ITU MESTI INGAT.
JGN SAMPAI PUNAH PAS BARU MAHU DISERAHKAN PADA ORG LAIN???
TAK GUNA LAGI....