GEORGETOWN - DAP akan terus bekerjasama dengan PKR dan Pas sekaligus memperbaiki hubungan baik yang terjalin selama ini dalam PR.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, walaupun sebelum ini pelbagai isu membelenggu pakatan itu, namun mereka tetap bersatu terutama bagi menghadapi PRK Permatang Pauh bulan hadapan.
Beliau berkata, Khamis lalu, satu mesyuarat PR yang dipengerusikan Ketua Menteri (Lim Guan Eng) diadakan turut dihadiri beberapa pemimpin tertinggi semua parti seperti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Rafizi Ramli serta Datuk Saifuddin Nasution.
“Pas juga hadir dan diwakili Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Salleh Man Mat Aji. Pemimpin DAP negeri juga hadir.
"Mesyuarat itu lebih kepada taklimat persiapan bagi menghadapi PRK Permatang Pauh,” katanya kepada media selepas meninjau kerja pembersihan sampah di Sungai Pinang, hari ini.
Menurutnya, satu ketetapan dibuat dalam mesyuarat berkenaan iaitu ketiga-tiga parti akan terus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan kekal milik PKR.
“Kita juga merangka strategi untuk memastikan kerusi parlimen berkenaan kekal milik PKR.
“Ia juga membincangkan hubungan sesama parti. Banyak pendekatan yang diambil bagi mengekalkan hubungan dalam PR. Buat masa ini, kita beri tumpuan terhadap PRK,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Permatang Pauh akan diadakan pada 7 Mei ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh.
Ia susulan penolakan petisyen oleh Lembaga Pengampunan yang dibuat keluarga Anwar untuk mendapatkan pengampunan diraja berhubung sabitannya terhadap kes liwat.
Menjawab soalan media berhubung pendirian majlis eksekutif Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) yang membekukan kerjasama dengan Pemuda Pas, Kon Yeow berkata, keputusan itu bukan dari jawatankuasa tertinggi pusat (CEC).
“Itu keputusan yang dibuat sendiri, bukan dari CEC. Selain Sabah dan Sarawak, semua negeri perlu mengikut arahan CEC iaitu bekerjasama dalam satu pasukan dalam PR kecuali kes (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang).
“Saya rasa Dapsy perlu pertimbang semula keputusan mereka dengan arahan CEC (supaya bekerjasama antara satu sama lain),” katanya.
Dapsy sebelum ini membuat ketetapan untuk membekukan semua bentuk kerjasama dengan Pemuda Pas Pusat merangkumi semua peringkat negeri.
Ketetapan itu dibuat selepas Pas Kelantan membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) baru-baru ini.
sh
baru nak sedar DAP
BalasPadam