KUALA PILAH - Harga baharu gas petroleum cecair (LPG) mungkin akan diumumkan pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, esok.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, beliau akan membentangkan cadangan kementeriannya berhubung perkara itu pada mesyuarat itu.
Satu kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan jika harga baharu itu mendapat persetujuan mesyuarat berkenaan.
Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga LPG pada kadar RM26.60 bagi tong 14 kilogram.
"Sebenarnya kita sudah mengadakan perjumpaan dengan mereka yang berkepentingan dalam industri LPG ini. Sudah dua tiga kali kita bermesyuarat tetapi belum ada kata putus mengenai harga baharu LPG kerana ada beberapa masalah teknikal dan juga kerana mengambil (pendekatan) kepentingan rakyat didahulukan.
"Kita akui bahawa sejak 16 tahun yang lalu harga LPG ini tidak pernah dikaji. Berikutan itu, kita mengambil pendekatan mengadakan rundingan baru-baru ini untuk mencari jalan supaya industri LPG ini akan terus berkembang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Koperasi Harapan Baru Kuala Pilah Bhd di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, harga baharu LPG ini akan turut mengambil kira jumlah subsidi diberikan kerajaan, cadangan orang ramai serta kepentingan rakyat.
Ditanya sama ada harga baharu LPG ini lebih rendah atau tinggi daripada harga sekarang, beliau berkata ia bergantung dengan keputusan mesyuarat
tersebut.
"Kalau kita sudah buat keputusan pada mesyuarat petang esok maka kita akan umumkan harga baharu LPG ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya menyasarkan untuk menubuhkan sebanyak 16,000 koperasi di seluruh negara menjelang tahun 2020.
Pada masa yang sama, aktiviti koperasi juga akan dipelbagaikan dan keanggotaannya meliputi hampir keseluruhan lapisan masyarakat.
"Adalah diharapkan sekurang-kurangnya 50 peratus rakyat dewasa akan menjadi anggota koperasi. Akhirnya, menjelang tahun 2020, koperasi dijangka berjaya menjadi entiti yang mampu berdiri dan bersaing dengan sektor swasta dalam pasaran terbuka.
"Ini bermakna, koperasi akan menjadi entiti perniagaan yang produktif, efisyen dan kompetitif serta berupaya menyumbang secara signifikan kepada keluaran dan pembangunan negara," katanya.
Mengikut rekod, sehingga 30 Jun 2014, terdapat 11,450 koperasi di seluruh negara dengan 7.2 juta anggota, syer (RM13.34 juta), aset (RM112.5 bilion) dan
perolehan (RM17.4 bilion)
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...