"Gambar
edit berniat jahat demi menjatuhkan saya? Bandingkan dengan gambar asal
dan penjelasan yang dikemukakan" -Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam.
"Satu lagi poster kempen jahat yang bertujuan untuk menjatuhkan saya. Kaedah kempen pasti Islam? PAS dirosakkan oleh budaya kempen jahat sebegini." -Khalid Samad
Ini gambar yang difitnahkn, sila lihat gambar asal di bawah ini..
Khalid Samad: Kempen Kotor dan Tidak Berakhlak
(Dicabut dari sebahagian dari tulisan asal: Majlis Pelancaran ‘Expo Home Deco’ IDCC Shah Alam: Kempen Kotor Telah Bermula)
MALANGNYA usaha saya untuk mendekatkan PAS dengan masyarakat umum dan masyarakat perniaga telah ingin disalah-ertikan oleh pihak-pihak tertentu. Ada yang bertanya, sambil mengedarkan ‘gambar edit’ saya dengan Amber Chia, “adakah Khalid Samad telah menjadi ‘model’ berposing bergambar bersama Amber Chia?”
Perlu saya jelaskan, walaupun mungkin mereka menganggap saya berbakat sebagai model, saya sedang menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen merasmikan Expo tersebut. Dan sebenarnya, saya bukan berdua-duaan dengan Amber, kerana ramai lagi di atas pentas bersama saya. Bersama ini saya sertakan gambar semasa di Expo tersebut dengan caption masing-masing untuk dinilai oleh semua, khususnya ahli PAS.
Ini gambar asal..
Ada juga yang mengatakan ianya ‘program lagha’ atau buang masa. Saya perlu jelaskan juga, ianya bukan program berdansa atau bersuka-ria, ianya program ekonomi yang banyak manfaatnya kepada usaha mencari rezeki oleh ramai. Jangan kita perlekehkan usaha-usaha sebegini. Kalau tidak PAS akan dilihat anti pembangunan dan anti-perniagaan.
Saya faham usaha ‘memburukkan’ saya dilakukan golongan yang ingin ‘menjatuhkan’ saya dalam Muktamar Jun ini. Mengikut fahaman mereka PAS tidak boleh keluar dari suasana Masjid dan Surau serta persekitaran ‘Islamik’. Mungkin mereka akan pengsang melihat kehadiran saya di Majlis Tahun Baru Cina yang dihadiri masyarakat berbilang kaum dan berbagai pakaian. Ada pemudi Cina berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan, ada Muslimat yang bertudung dan berabayyah lengkap.
Sudah pasti suasana sebegini akan mencelarukan pemikiran mereka, tidak mampu difahami otak-otak sempit mereka. Bagi golongan ini, Islam itu hanya dalam suasana terpelihara, berjubah berserban. Masyarakat berbilang agama dan kaum bagaikan tidak wujud dan sekiranya wujud sekali pun, ianya bukan medan unuk PAS. Mungkin ini yang dimaksudkan YB Hanipa Maidin sebagai golongan yang tidak memahami waqi’ atau realiti masyarakat Malaysia dan cabaran perjuangan Islam bergerak di dalamnya.
Mereka bagaikan ‘golongan suci’ yang takut terkena debu masyarakat yang tidak Islamik dan oleh itu menyibukkan diri dengan program ‘syok sendiri’ dalam suasana kebiasaan mereka. Kalau itulah kaedahnya maka PAS akan menghadkan diri kepada masyarakat Melayu kampung dan suasana Surau dan Masjid sahaja, tidak berani keluar dari kepompongnya untuk menggalas cabaran dakwah dalam masyarakat majmuk berbilang kaum, agama dan budaya.
Lainlah kalau di dalam gambar tersebut saya bersentuh-sentuhan atau berpeluk-pelukan atau bercumbu-cumbuan dengan selibriti berkenaan. Atau bergurau senda dan berkelakuan tidak senonoh. Tetapi tidak! Dan bila ditanya apa kesalahan saya, seperti biasa - mereka membisu.
Sebenarnya niatnya adalah untuk menjatuhkan saya dalam pemilihan akan datang. Itulah sebabnya gambar itu disebarkan melalui FB dan WhatsApp di kalangan ahli tanpa disertakan penjelasan yang tepat berhubung gambar tersebut. Kalau mereka ikhlas, sudah pasti mereka menghubungi saya dan bertanya mengenai gambar itu. Atau membuat aduan kepada pimpinan mengenai tingkah laku saya. Tetapi tidak. Sebaliknya disebar-luaskan gambar tersebut tanpa apa-apa penjelasan.
Begitulah tindakan golongan yang busuk hati, menjadikan corak kempen dalam PAS lebih buruk dan dahsyat dari barisan parti lain yang terdapat di negara kita ini! Semoga Allah selamatkan PAS dari golongan berbudaya jelek ini.
Saya serahkan persoalan ini kepada Allah. Semoga kebenaran terserlah dan kemenangan tercapai bagi pihak yang difitnah dan dizalimi.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...