suhaizan-kayat_M

KUALA LUMPUR, 20 Februari: UMNO didakwa mempunyai agenda tersirat untuk memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) yang kononya menjadi ancaman terbesar BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat sambil menyeru rakyat memahami bahawa strategi sebenar UMNO dalam Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka merupakan pepecahan kepada PR.
Katanya strategi UMNO melalui satu-satunya jalan untuk menyelamatkan BN selepas PR menguasai 51 peratus undi popular dalam PRU ke 13.

“Maka pelbagai agenda telah dirangka dan dilaksana. Antaranya mensensasikan pertembungan PAS dan DAP serta pertembungan PAS dan PKR.


“Perbezaan pendirian parti dalam PR dipergunakan semaksima mungkin. Maka perbezaan 10 peratus dalam PR disensasikan menjadi 99 peratus,” katanya.

Katanya alasan menghormati Allahyarham dan menjaga hubungan antara negeri dan pusat serta mengelakkan pembaziran yang digunakan UMNO hanya politik tersurat.
Jelas Suhaizan, tindakan UMNO membuat pusingan U secara tiba-tiba tidak mahu bertanding di Chempaka dilihat mempunyai agenda tersirat.

“Supaya kita tidak dianggap lurus bendul, maka kita perlu memahami apa yang tersirat di sebalik strategi terbaharu UMNO ini.
“Politik lurus bendul adalah politik yang bertentangan dengan politik budiman,” katanya yang dipetik melalui Harakah Daily.
Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menyatakan pandangan mereka bahawa UMNO tidak perlu bertanding di DUN Chempaka berdasarkan beberapa alasan.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Khamis, akibat kanser prostat.

Sehubungan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada Rabu menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Chempaka.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, Nik Aziz yang merupakan Mursyidul AM PAS memenangi majoriti 6,500 undi dan mengekalkan kerusi selama 7 penggal sejak tahun 1986.