KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memperluaskan lagi penjelasan mengenai jihad susulan banyak kekeliruan berhubung konsep itu terutama dalam kalangan golongan muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kekeliruan itu dikenal pasti antara punca segelintir golongan muda mula tertarik dan terpengaruh dengan 'seruan jihad'.
"Jakim akan melaksanakannya melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan agensi-agensi di bawah bidang kuasanya di sini hari ini.
Jamil Khir berkata, pegawai Jakim akan turun padang dengan mengadakan sesi ceramah serta seminar bukan sahaja di IPT malah setiap agensi kerajaan.
Usaha itu, katanya, selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Jakim mengambil peranan dan tanggungjawab mengetuai program penjelasan mengenai konsep jihad.
Perjuangan kononnnya atas nama jihad menyebabkan segelintir warga Malaysia terpengaruh dan menyokong kumpulan dikenali IS.
Semalam, seorang bekas pelajar sebuah universiti tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan pejuang IS tahun lepas, sekali gus menjadi rakyat Malaysia ke-24 yang dihadapkan ke mahkamah berkaitan bantuan kepada IS.
sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...