KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya diminta memberi tumpuan kepada pembangunan Kelantan khususnya kemudahan jalan raya.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata isu kemudahan asas terutamanya soal jalan raya akan dibangkitkan di parlimen bagi mendapat respons kerajaan.
"Terlalu banyak rungutan diterima dari rakyat Kelantan khususnya mereka yang bekerja di luar yang ingin balik terutama ketika cuti umum.
"Kesesakan perjalanan yang mereka terpaksa tempuhi, walaupun ini diketahui umum tetapi tidak ada tindakan dari kerajaan pusat," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kerja Raya di Parlimen pagi tadi.
Beliau juga berharap Kerajaan Pusat memberi perhatian serius terhadap masalah tersebut agar kesulitan pengguna jalan raya dapat diatasi sepenuhnya.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat menyambut baik usaha kerajaan dalam membangunkan negeri itu.
Namun katanya, kerajaan perlu memandang serius dalam soal menaik taraf jalan-jalan di Kelantan terutamanya menghubungkan bandar-bandar.
"Bila musim perayaan boleh menyebabkan pengguna jalan raya memandu lebih 16 jam.
"Ini merupakan satu situasi yang menyukarkan pengguna, Kerajaan Pusat perlu beri perhatian dalam perkara ini.
"Melalui memorandum ini terdapat fakta-fakta yang boleh dirujuk kerajaan agar pembangunan atau menaik taraf jalan dilakukan dengan segera," kata beliau.
Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Drs Zainuddin kepada Pegawai Khas Menteri, Kementerian Kerja Raya, Reduwan Salleh di lobi Parlimen.
hd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...