Pages - Menu

Pages - Menu

Selasa, Oktober 28, 2014

Penyelewengan Fakta Hadis di TV alHijrah - Bekas Mufti



Semalam semasa saya mengunjungi ibu saya, saya tertonton rancangan di TV Hijrah diberi nama 'Persepsi: Melayu Keliru'. 

Dari satu sudut saya rasa jika seorang non-muslim menonton rancangan tersebut dia mungkin akan sangka islam itu melayu dan melayu itu Islam.
Namun saya lebih tersentak apabila pengacara membaca sebuah hadis yang tidak sahih bahkan ulama hadis menghukumnya sebagai palsu tapi pengacara itu menyatakan hadis itu riwayat al-Bukhari dan Muslim. Satu penipuan fakta terhadap kedua kitab sahih berkenaan.

Beliau membaca dalam bahasa melayu -lebih kurang- sabda Nabi s.a.w (kononnya) : "wahai anakku Fatimah! Adapun wanita yang digantung rambutnya dalam neraka kerana dia tidak menutup rambutnya dari lelaki"



Hadis ini asalnya dalam lafaz arab berbunyi
يا ابنتي: أمَّا المعلَّقةُ بشعرِها فإنها كانتْ لا تغطي شعرَها من الرجالِ،

Hadis ini sebenarnya tiada dalam kitab-kitab hadis utama Ahlussunah wal Jamaah namun ia ada diriwayat oleh kitab-kitab Syiah seperti kitab besar karangan al-Majlisi iaitu Bihar al-Anwar dan 'Uyun Akbar al-Rida oleh as-Saduq. Rawi-rawi hadis tidak dipercayai.

Kitab al-Kabair dalam edisi yang cuba dikaitkan dengan az-Zahabi ada menyebut riwayat ini TANPA SANAD.

Maka ia hadis yang palsu yang tidak boleh diriwayatkan tanpa penerangan apatahlagi disandarkan kepada al-Bukhari dan Muslim.

Hendaklah kita semua berhati-hati dalam hal ini. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) ابن حبّان dalam sahihnya meletakkan satu pasal ynag beliau namakan:
فصل: ذكر إيجاب دخول النار لمن نسب الشيء إلى المصطفى صلى الله عليه وسلم وهو غير عالم بصحته
(Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) s.a.w, sedang dia tidak tahu mengenai kesahihannya).

Maka berhati-hatilah!

Jika benar ada hadis perempuan digantung rambut dalam neraka kerana tidak tutup rambut dari pandangan lelaki nescaya fuqaha tidak bersusah payah mencari dalil dalam masalah ini. Hampir keseluruhan fuqaha menyatakan rambut aurat adalah berdasar kesimpulan yang mereka fahami dari ayat al-Quran Surah an-Nur ayat 31.


Sumber : FB DrMAZA.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...